LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Orang ramai yang menjumpai apa saja barangan yang dipercayai ada kaitan dengan tragedi Jeram Air Putih di Kemaman yang mengorbankan 10 mangsa diminta menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan 'As'ari Omar, berkata penemuan barangan berkenaan mungkin boleh dijadikan petunjuk bagi pencarian mangsa terakhir, Putri Nor Fatin Karim, 14, yang belum ditemui.

Katanya, pihaknya menasihatkan orang ramai, penduduk dan komuniti setempat yang menjumpai peralatan atau barangan dipercayai milik keluarga mangsa menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

"Saya menyeru kepada orang kampung komuniti setempat kalau terjumpa apa apa peralatan, barang barang yang dipercayai milik mangsa diminta tolonglah serahkan kepada pihak berkuasa untuk diuruskan," katanya pada sidang media majlis Penyerahan Peralatan Keselamatan Kebombaan sumbangan Bank Simpanan Nasiinal (BSN) kepada Pusat Tahfiz dan Rumah Anak Yatim di perkarangan Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, hari ini.

Pada majlis itu sebanyak 20 alat pemadam api disumbangkan kepada lima rumah dan asrama anak yatim iaitu Asrama Perkaya Besut, Asrama Perkaya Marang, Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi, Teluk Ketapang, Kuala Nerus, Asrama Anak Yatim Darul Falah, Marang dan Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Baitul Sakinah, Kuala Terengganu dengan masing-masing menerima empat peralatan berkenaan.

Hassan 'As'ari berkata, operasi SAR Putri Nor Fatin masih diteruskan dengan skala lebih kecil oleh BBP Cheneh dan Chukai.

Selain itu, langkah-langkah keselamatan diserahkan kepada polis bagi memastikan kawasan terbabit tidak dimasuki orang awam.

Berkaitan sama ada kawasan lokasi kejadian ditutup kepada awam atau tidak, beliau berkata, pihaknya tidak dapat memastikan perkara itu kerana ia bukan di bawah bidang kuasa jabatan bomba.

Semalam sebuah beg sandang jenama Gregory berisi wang dan dokumen penting dipercayai milik Karim Abdullah, 39, salah seorang mangsa tragedi kepala air Jeram Air Putih, Kemaman ditemukan pasukan pencarian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 6:52 PM