Rosli Ilham


Chukai: Kadar taburan hujan yang tinggi dipercayai menjadi punca berlaku fenomena kepala air yang kuat di jeram Air Putih, Kemaman.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan As'ari Omar berkata, berdasarkan rekod diperolehi daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), taburan hujan yang berlaku di kawasan Hulu Kemaman pada 28 Jun, 29 Jun dan 30 Jun adalah pada kadar biasa.

Menurutnya, pada 1 Julai pula, kadar hujan yang direkodkan sangat tinggi iaitu 106.05 mililiter.

"Pada hari (1 Julai) itu juga, hujan lebat turut berlaku di kawasan Hulu Tembeling, Pahang dan kita percaya aliran air di kawasan itu dan Hulu Kemaman bergerak seiringan memasuki kawasan jeram Air Putih.

"Pergerakan air yang kuat itu dipercayai tidak mampu menampung kawah-kawah takungan yang berada di sepanjang laluan jeram terbabit," katanya ketika ditemui di Pusat Media di Balai Polis Air Putih, di sini, hari ini.

Hassan berkata, selain itu, aliran kepala air yang kuat itu turut melepasi bongkah batu-batu besar yang berada di kawasan jeram terbabit termasuk meruntuhkan tebing-tebing pasir.

"Kita percaya keadaan itu menyebabkan aliran air bergerak dengan lebih laju sehingga tiba di kawasan tragedi terbabit," katanya.

Katanya, pergerakan kepala air yang kuat dipercayai menyebabkan kesemua mangsa yang ketika itu berada di jeram terbabit gagal menyelamatkan diri.

"Kita percaya paras air mencatat kenaikan yang tinggi sekitar kira-kira lima meter daripada paras air sebenarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 4:56 PM