Rosli Ilham


Chukai : Kerajaan Negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji keseluruhan kejadian fenomena kepala air di Jeram Air Putih, berhampiran Kampung Teladas, di sini, sehingga 10 mangsa terkorban.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penubuhan itu akan dibincangkan pada mesyuarat Exco Rabu ini.

Menurutnya, perbincangan akan dijalankan secara menyeluruh bukan sahaja di Jeram Air Putih, tetapi membabitkan semua kawasan berisiko di Terengganu.

"Lazimnya kawasan perkelahan sudah ditampal dengan notis peringatan, namun kita akan melihat balik keberkesanan notis ini.

"Mungkin juga akan ada pengawasan lain dan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco nanti," katanya ketika melawat Pusat Kawalan Operasi Mencari Dan Menyelamat tragedi kepala air di Balai Polis Air Putih, hari ini.

AHMAD Samsuri (berbaju batik) melihat kenderaan mangsa yang ditemui dalam kejadian kepala air di Jeram Air Putih di Pusat Kawalan Operasi, Balai Polis Air Putih hari ini. FOTO Ghazali Kori.
AHMAD Samsuri (berbaju batik) melihat kenderaan mangsa yang ditemui dalam kejadian kepala air di Jeram Air Putih di Pusat Kawalan Operasi, Balai Polis Air Putih hari ini. FOTO Ghazali Kori.

Turut hadir Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan dan Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBP) Terengganu, Hassan As'ari Omar.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, jenazah enam mangsa yang ditemui semalam dan hari ini akan diuruskan kerajaan negeri.

"Kita juga akan melihat keperluan yang lain untuk membantu keluarga mangsa.

"Kami bersimpati dengan apa yang berlaku dan kerajaan negeri akan membantu sebarang keperluan termasuk kepada ahli keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 6:32 PM