Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: "Kali terakhir saya berjumpa dengan Kak Endut (Azizah Eiyi, 40) tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu.

"Mereka sekeluarga datang ke rumah kami di Sungai Besar, Selangor menziarah selepas ibu meninggal dunia.

"Malah, saya sangat rapat dengan keluarga Kak Endut dan kejadian yang berlaku ke keluarga ini sukar untuk dipercayai," kata Muhammad Syamsul Musa, 37 yang juga sepupu kepada Azizah.

Menurutnya, dia mendapat tahu suami Azizah iaitu Karim Abdullah, 39, baru sebulan bekerja dalam kawasan pembalakan di kawasan terbabit.

"Suami Kak Endut (Karim) baru sebulan dalam kawasan pembalakan sebagai pemandu jengkaut.

SEPUPU mangsa lemas tragedi fenomena kepala air di Air Putih, Kemaman, Muhammad Syamsul. FOTO Faizul Azlan Razak
SEPUPU mangsa lemas tragedi fenomena kepala air di Air Putih, Kemaman, Muhammad Syamsul. FOTO Faizul Azlan Razak

"Kejadian yang menimpa Kak Endut sekeluarga ini memang dirasainya kerana saya juga menumpang kasih dengan mereka," katanya yang ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Muhammad Syamsul yang menetap di Kampung Baru, Seberang Takir, Kuala Nerus berkata dia menerima perkhabaran sedih itu tengahari semalam.

Terdahulu, dua mayat yang dikhuatiri lemas dalam tragedi fenomena kepala air yang berlaku di Jeram Air Putih, berhampiran Kampung Teladas, Kemaman dibawa ke HSNZ, pagi tadi.

Dua mayat, Azizah dan anak lelaki, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim berusia 11 tahun tiba di Jabatan Perubatan Forensik HNSZ dengan trak polis kira-kira jam 10 pagi tadi.

NSTP semalam melaporkan, dua beranak ditemui mati lemas sementara lapan lagi mangsa dikhuatiri hilang dalam kejadian dipercayai berlaku petang kelmarin.

Mayat Azizah ditemui terapung oleh penduduk kira-kira 24 kilometer dari tempat kejadian kira-kira jam 12.45 tengahari semalam.

Mayat anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal ditemui tersangkut pada batang pokok pada jarak dua kilometer dari tempat kejadian kira-kira jam 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 11:33 AM