Zatul Iffah Zolkiply dan Rosli Ilham


Chukai: Tiga lagi mayat mangsa fenomena kepala air di Jeram Air Putih berhampiran Kampung Teladas, di sini sudah disahkan identiti oleh keluarga mereka.

Ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Putri Aryana Umaira Karim, 4, Putri Nurerina Natasya Karim, 10, dan bapa mereka, Karim Abdullah, 39.

Mayat Putri Aryana Umaira dan Putri Nurerina Natasya ditemui pada 12.05 tengah hari manakala mayat Karim ditemui jam 1.55 tengah hari di kawasan pencarian Sektor A.

Sebelum itu, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, ditemui terapung oleh pasukan pencarian jam 11.05 pagi.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan mayat yang dipercayai mangsa fenomena kepala air sudah ditemui setakat ini adalah enam orang dengan empat lagi dilaporkan masih hilang.

Bagaimanapun, setakat ini, hanya enam mangsa sudah disahkan identiti mereka oleh ahli keluarga.

Terdahulu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, kesemua mayat ditemui di Sektor A dan Sektor B di kawasan seluas 25 kilometer (km) dari lokasi kejadian

Beliau berkata, operasi mencari masih giat dijalankan anggota pencarian.

Semalam, seorang wanita dan anak lelakinya ditemukan lemas manakala lapan lagi hilang dalam fenomena kepala air.

Mayat pertama, Azizah Eiyi, 40, ditemui jam 12.45 tengah hari semalam kira-kira 24 kilometer dari lokasi kejadian.

Sementara anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, ditemui tersangkut kira-kira jam 3 petang hari yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 4:31 PM
ANGGOTA Pasukan penyelamat  mengenal pasti mayat mangsa keenam yang dijumpai di Sungai Teladas selepas dihanyutkan dalam kejadian kepala air. FOTO Ghazali Kori
ANGGOTA Pasukan penyelamat mengenal pasti mayat mangsa keenam yang dijumpai di Sungai Teladas selepas dihanyutkan dalam kejadian kepala air. FOTO Ghazali Kori