Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: "Saya reda dengan apa yang berlaku," kata Eiyi Johari, 60, bapa kepada Azizah, 40, yang lemas dalam tragedi fenomena kepala air di Jeram Air Putih berhampiran Kampung Teladas di Kemaman, kelmarin.

Mengimbas kejadian malang menimpa anaknya itu, Eiyi memberitahu Azizah yang juga anak ketiga daripada tujuh beradik ada memaklumkan kepada ibunya mahu pergi berkelah di kawasan terbabit.

"Ketika mereka sekeluarga bertolak ke kawasan perkelahan itu, saya tidak ada di rumah kerana sudah keluar bekerja.

"Namun, mereka ada memberitahu kepada ibunya yang mereka sekeluarga mahu pergi berkelah," katanya yang ditemui di perkarangan Jabatan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Eiyi ditenangkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman (Kanan) ketika ditemui di HSNZ. FOTO Faizul Azlan Razak
Eiyi ditenangkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman (Kanan) ketika ditemui di HSNZ. FOTO Faizul Azlan Razak

Menurut Eiyi, anaknya itu tinggal berasingan di Felda Lepar Hilir 3 dengan menantunya, Karim Abdullah, 39, berulang-alik bekerja di kawasan pembalakan di Air Puteh.

Eiyi ketika ini masih menunggu jenazah anak dan cucunya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, yang dalam proses bedah siasat.

"Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3 sebaik urusan bedah siasat selesai," katanya.

Terdahulu, mayat Azizah dan Muhammad Zulqarnain Haikal tiba di HSNZ untuk bedah siasat, kira-kira 10 pagi tadi.

Harian Metro semalam melaporkan, dua beranak itu ditemukan lemas sementara lapan lagi dikhuatiri hilang dalam kejadian itu.

Berita berkaitan

Tragedi kepala air: Suami Kak Endut baru sebulan bekerja

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 1:48 PM