BERNAMA

Kemaman: Operasi hari kedua mencari dan menyelamat (SAR) lapan lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, dekat sini diteruskan pada 9 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata, dua mayat pertama ditemukan orang ramai pada 12.30 tengah hari semalam iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

Mayat Azizah ditemukan terapung sejauh 24 kilometer (km) dari lokasi kejadian, dengan polis mengambil kira kedudukan penemuan kereta jenis Proton Gen 2 dinaiki keluarga malang itu sebagai titik awal insiden.

Mayat Muhammad Zulqarnain Haikal pula ditemukan 2km dari lokasi kejadian dalam keadaan tersangkut pada dahan pokok selepas dihanyutkan arus deras.

Paras air dikatakan naik lima hingga 10 meter akibat fenomena itu.

Selain kereta tersebut, turut ditemukan ialah sebuah motosikal jenis SYM.

ANGGOTA pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi diberi taklimat sebelum SAR mencari lapan mangsa yang masih hilang di Jeram Mawar, Air Putih dimulakan, pagi ini. FOTO Ghazali Kori.
ANGGOTA pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi diberi taklimat sebelum SAR mencari lapan mangsa yang masih hilang di Jeram Mawar, Air Putih dimulakan, pagi ini. FOTO Ghazali Kori.

Semalam, operasi SAR dihentikan pada 6 petang ekoran hujan lebat yang menyukarkan pencarian selain berisiko kepada pasukan pencarian yang dijalankan oleh polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain turut dibantu orang awam.

Hanyan berkata sehingga 10 malam semalam, tiada sebarang petunjuk atau penemuan baharu mengenai kedudukan baki mangsa yang masih hilang berjaya dibuat pasukan pencarian.

Tragedi Jeram Mawar : Operasi SAR hari kedua dibahagikan kepada tiga sektor dalam radius 32 km - Polis

Pada operasi hari ini, pencarian dibahagi kepada tiga sektor dalam radius 32km, selain percaya mangsa mungkin dihanyutkan arus, jauh dari lokasi mengambil kira tempat mayat Azizah ditemukan.

Unit anjing pengesan K9 milik polis dan JBPM akan digerakkan hari ini bagi membantu memudahkan kerja pencarian dengan penambahan kekuatan pasukan SAR juga bakal dibuat di tiga fasa kawasan pencarian yang ditentukan mengikut kekuatan dan bantuan operasi pasukan SAR.

Semalam, media melaporkan 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Mawar, di sini pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.

HANYAN menunjukkan gambar sembilan mangsa yang terlibat dalam kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, malam tadi. FOTO Bernama.
HANYAN menunjukkan gambar sembilan mangsa yang terlibat dalam kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, malam tadi. FOTO Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 9:38 AM