Alias Abd Rani


Batu Pahat: Lebih 20,000 penduduk di 25 kawasan di daerah ini mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan paip pecah di berdekatan Sekolah Convent, Jalan Kluang-Batu Pahat, di sini, hari ini.

Insiden berlaku kira-kira 6 pagi menyebabkan air melimpah atas jalan selain berlaku kesesakan sepanjang lebih dua kilometer.

Tinjauan juga mendapati laluan menuju ke pusat bandar terpaksa ditutup dengan kenderaan dilencongkan ke Jalan Persiaran Flora Utama.

Antara kawasan terjejas akibat insiden itu ialah Jalan Kluang, Taman Koperasi, Taman Flora, Jalan Bakau Condong, Taman Makmur, Taman Batu Pahat, Peserai, Kampung Muhibbah Peserai, Sungai Kajang, Taman Nira dan Taman Emas.

Selain itu, Taman Banang, Kampung Merdeka, Jalan Mohd Akil, Jalan Omar, Shahbandar, Jalan Minyak Beku, Penggaram, Taman Kota Murni, Taman Pantai, Taman Flora Utama, Linau, Parit Bilal, Taman Setia Jaya dan Taman Banang Heights.

Ketika ini, kerja-kerja pembaikan siap dijalankan dengan pemantauan rapi daripada pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Dalam pada itu, Ranhill Syarikat Air Johor (SAJ) dalam kenyataan berkata, kejadian itu membabitkan paip bersaiz 600 milimeter (mm).

"Kerja-kerja pembaikan sedang giat dijalankan dan dijangka mengambil masa untuk disiapkan.

"Ranhill SAJ akan menggerakkan bantuan bekalan air alternatif melalui tangki ke kawasan terjejas mengikut keperluan.

"Sebarang notis pemakluman akan dikemaskini dari semasa ke semasa. Talian hotline 1-800-88-7474 turut diaktifkan bagi membolehkan pengguna mendapat bantuan sekiranya memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 6:09 PM
KONTRAKTOR Ranhil SAJ bersama pegawai SPAN melihat kerja membaikpulih paip yang pecah di Jalan Kluang-Batu Pahat. FOTO Alias Abd Rani
KONTRAKTOR Ranhil SAJ bersama pegawai SPAN melihat kerja membaikpulih paip yang pecah di Jalan Kluang-Batu Pahat. FOTO Alias Abd Rani