BEBERAPA tangki air statik diletakkan di Masjid As Solihin, Felda Bukit Permai, bagi menangani isu ketiadaan air. FOTO Omar Ahmad
BEBERAPA tangki air statik diletakkan di Masjid As Solihin, Felda Bukit Permai, bagi menangani isu ketiadaan air. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


Kulai: "Sudah lama kami berdepan dengan masalah air, sudah hampir 50 tahun," kata Ketua Kampung Bukit Permai di sini, Zakaria Khalid susulan kekecewaan penduduk yang berdepan situasi terburuk akibat ketiadaan air ketika sambutan Aidilfitri lalu.

Katanya, beberapa kampung berdekatan membabitkan lebih 1,000 rumah tiada air pada pagi Syawal, sehingga ada di antara penduduk tidak dapat menyediakan juadah pagi raya kerana kesukaran untuk memasak.

"Kalau penduduk sini sudah biasa air kejap ada kejap tak ada sejak 50 tahun lalu, tetapi bila hari raya anak, menantu dan cucu pulang da mereka tidak biasa dengan keadaan ini.

"Saya sedih bila pagi raya setitik air pun tiada keluar dari paip. Mana pergi air itu? Ada penduduk yang hubungi saya, nak mandi, basuh muka pun tiada air.

"Kita memang tidak sangka air tak ada waktu raya sebab petang sebelum raya air memang kuat. Tiada pemberitahuan gangguan bekalan air. Kalau ada pemberitahuan sekurang-kurangnya penduduk bersedia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor Felda Bukit Permai di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Kampung Murni Jaya, Mohd Azam Saadon berkata penduduk kampungnya juga mengalami masalah sama.

Katanya, ketiadaan air kritikal dihadapi penduduk terutama Kampung Tersusun yang mana kedudukannya lebih jauh.

"Kita harap sangat Ranhill SAJ buat tindakan drastik untuk selesaikan masalah ini, saya ikut taklimat yang diberikan sebelum hari raya, tetapi tindakan jangka masa pendek dan panjang, saya lihat gagal.

"Ranhill SAJ perlu kaji apakah punca masalah air di kawasan ini. Kenapa tidak dapat disalurkan seperti biasa menerusi paip. Orang kampung hendak tahu apa punca dan penyelesaiannya," katanya.

Bagi Mohd Jafni yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri memaklumkan, dua minggu sebelum Syawal, Ranhill SAJ memberi komitmen bekalan air tidak akan terputus di kawasan ini, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Katanya bukan sahaja kediaman tetapi kedai dan masjid juga tiada air, dan hanya bergantung kepada air tangki statik.

"Hari ini sumber bekalan air semakin pulih dan hampir keseluruhan rumah di Gugusan Murni Jaya, Kampung Sri Muar, Felda Bukit Permai dan Kampung sekitar sudah ada bekalan air. Tapi ada 100 rumah di Kampung Agas di Felda Bukit Permai 40 buah, di kampung Sri Muar dan Kampung Sungai Sayong 1 dalam 28 rumah dan Kampung Tersusun di Murni Jaya masih bergantung pada lori tangki untuk dapatkan bekalan air.

"Kali ini adalah paling teruk, membabitkan kawasan sempadan Renggam hingga Bukit Permai, ia membangkitkan rasa kecewa dan marah penduduk. Ada satu dua kes lori tangki yang bekalkan air dikesan mempunyai bau yang tidak boleh digunakan air tersebut untuk memasak.

"Sepatutnya sebagai operator air, Ranhill SAJ seharusnya mengeluarkan notis pemberitahuan awal ketiadaan air kepada penduduk kampung. Kita rasa Ranhill SAJ gagal dalam melaksanakan komitmen mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 5:25 PM