RANHILL SAJ beri diskaun 50 peratus bagi caj ke atas penggunaan air kepada pelanggan B-40 di Johor. FOTO Arkib NSTP
RANHILL SAJ beri diskaun 50 peratus bagi caj ke atas penggunaan air kepada pelanggan B-40 di Johor. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh

PENYEDIA perkhidmatan air Johor, Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) memberi diskaun 50 peratus bagi caj ke atas penggunaan air kepada pelanggan dalam golongan B-40 untuk bulan ini.

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha syarikat berkenaan dalam membantu pelanggannya ketika menangani wabak Covid-19.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Ifuan Md Nor, berkata keputusan itu adalah usaha syarikat sebagai warga korporat yang bertanggungjawab untuk membantu pelanggan dalam kumpulan pendapatan isi rumah terendah yang mewakili 40 peratus populasi B40 berdepan dengan situasi pada masa ini.

“Kesihatan dan keselamatan awam adalah keutamaan Ranhill SAJ.

“Kebersihan diri penting bagi mencegah penularan Covid-19, manakala gangguan ekonomi berkemungkinan menjejaskan keupayaan mereka untuk memenuhi komitmen kewangan lain.

“Atas sebab inilah, maka kami berpendapat bahawa tindakan ini adalah perlu bagi memastikan kesejahteraan mereka dilindungi dalam masa kritikal seperti sekarang,” katanya.

Sementara itu, bagi memastikan tiada pelanggan yang terputus bekalan air dalam tempoh wabak ini, Nor Ifuan berkata, Ranhill SAJ juga menangguhkan penguatkuasaan pemotongan air bagi bil tertunggak yang berkuat kuasa mulai hari ini hingga 30 April depan.

“Ini bermakna tiada pemotongan air akan dibuat ke atas bil yang tertunggak atau tidak berbayar sepanjang tempoh ini.

“Pelanggan yang baharu sahaja mengalami pemotongan bekalan air dalam tempoh ini boleh menghubungi Pusat Maklumat Ranhill SAJ di talian 1-800-88-7474 untuk memohon semakan ke atas akaun mereka untuk penyambungan semula,” katanya.

Beliau berkata, sebagai mematuhi nasihat kerajaan berhubung penjarakan sosial, semua perkhidmatan melalui kaunter Ranhill SAJ juga dihentikan buat sementara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Bagi pelanggan yang mahu membuat pembayaran bil, mereka boleh melakukannya secara dalam talian dari rumah.

Pelanggan yang memerlukan nasihat dan bantuan boleh juga menghubungi RanhillSAJ melalui e-mel di [email protected].

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 5:22 PM