Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang bersama pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam operasi mencari mangsa susulan kejadian runtuhan di tapak pembinaan sebuah gudang di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini baru baru ini. FOTO Arkib NSTP
Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang bersama pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam operasi mencari mangsa susulan kejadian runtuhan di tapak pembinaan sebuah gudang di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini baru baru ini. FOTO Arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Syarikat mengendalikan projek pembinaan gudang logistik di Batu Maung, Bayan Lepas yang runtuh Selasa lalu, diarah melantik penyiasat bebas.

Ia bagi mengenal pasti punca insiden yanag mengorbankan tiga nyawa itu dan menilai kualiti struktur pembinaan tapak.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hairozie Asri berkata sekiranya terdapat pelanggaran mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, majikan bakal berdepan tindakan undang-undang.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan susulan di tapak kejadian kemalangan yang turut dihadiri pasukan dari Bahagian Kejuruteraan Forensik JKKP Malaysia.

"Notis pemberhentian serta merta ke atas semua kerja di tapak pembinaan gudang itu sudah dikeluarkan selain siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Siasatan yang dijalankankan adalah menjurus kepada Seksyen 15, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 iaitu berkaitan dengan tanggungjawab majikan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjanya semasa aktiviti kerja dijalankan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, JKKP Pulau Pinang hanya akan membatalkan notis yang dikeluarkan sekiranya semua bukti ditempat kejadian sudah diperoleh dan pihak jabatan berpuas hati dengan langkah pembaikan serta kawalan yang akan diambil bagi mengelak kemalangan seumpamanya di masa hadapan.

Terdahulu, Hairozie yang turut meninjau lokasi berkata pihaknya sudah mengeluarkan 12 notis halangan dan pembaikan ke atas projek itu tiga bulan lalu.

"Bagaimanapun kesemua notis itu dibatalkan susulan pihak projek melakukan penambahbaikan.

"Antara notis yang dikeluarkan tempoh hari berkaitan penyeliaan kerja oleh jurutera profesional, kelengkapan pelindung diri (PPE) ke atas pekerja, penyeliaan perancah yang selamat serta pemeriksaan ke atas perancah yang dipasang di tapak pembinaan. "Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar, " katanya

Terdahulu, media melaporkan kejadian runtuhan bangunan yang sedang dalam pembinaan itu yang berlaku kira-kira jam 9 malam.

Dua mangsa dilaporkan maut di lokasi kejadian dan seorang lagi meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP), manakala dua lagi cedera parah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 6:56 PM