Beberapa kenderaan penduduk di Jalan Sultan Azlan Shah, Kampung Sungai Nibong, di sini, ditutup dengan kain kanvas bagi mengelakkan sisa dari tapak pembinaan seperti habuk dan bancuhan simen mengenai kenderaan. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Beberapa kenderaan penduduk di Jalan Sultan Azlan Shah, Kampung Sungai Nibong, di sini, ditutup dengan kain kanvas bagi mengelakkan sisa dari tapak pembinaan seperti habuk dan bancuhan simen mengenai kenderaan. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Penduduk di Jalan Sultan Azlan Shah, Kampung Sungai Nibong, di sini, gusar berikutan sisa dari bangunan setinggi 42 tingkat yang sedang dibina, kerap menimpa kenderaan di sekitarnya.

Malah ibu bapa murid sekolah berhampiran juga bimbang akan keselamatan anak mereka berikutan jarak antara sekolah dengan bangunan itu hanya terletak kira-kira beberapa meter sahaja antara satu sama lain.

Mohd Muhaimin Jamaludin, 40, berkata, dia menyedari sisa seperti bancuhan dan habuk simen, jatuh mengenai kereta di sekitar kawasan sekolah sejak sebulan lalu.

Katanya, biarpun belum ada kejadian yang menimpa orang awam atau murid di sekolah itu, namun dia berasa bimbang kerana malang tidak berbau.

"Apabila struktur tinggi itu siap, kami mula sedari ada sisa yang terjatuh, ditambah habuk dipercayai simen berterbangan dan bimbang juga jika ada sisa lain lebih berat jatuh ke kawasan sekolah kerana ia terletak terlalu hampir.

"Diharap pihak berkenaan dapat buat sesuatu demi keselamatan penduduk serta warga sekolah berkenaan yang mana dua anak saya berusia tujuh dan 12 tahun turut bersekolah di situ," katanya ketika ditemui di sini.

Tinjauan Harian Metro mendapati, tapak pembinaan bangunan pangsapuri itu hanya terletak beberapa meter dengan kawasan sekolah dan perumahan.

Terdapat beberapa kenderaan termasuk kereta milik guru di sekolah, ditutup dengan kain kanvas supaya habuk atau sisa tidak mengenai kenderaan itu.

Beberapa pekerja am dari tapak pembinaan itu jugak bertindak melakukan pemantauan di sekitar kawasan sekolah dan perumahan.

Di kawasan sekolah yang terlalu hampir dengan bangunan itu diletakkan jaring sebagai langkah berjaga-jaga.

Sementara itu Harian Metro juga sudah menghubungi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dan pihak berkenaan akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.

Satu sidang media oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang akan diadakan petang ini berhubung isu terbabit.

#kw tapak pembinaan, georgetown, sekolah, jkkp

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 3:03 PM