JAAFAR (kiri) memeriksa tapak pembinaan kondominium di Jalan Pantai Sinaran, Georgetown, semalam.
JAAFAR (kiri) memeriksa tapak pembinaan kondominium di Jalan Pantai Sinaran, Georgetown, semalam.
Zuhainy Zulkiffli


JABATAN Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang menyita 14 lokasi tempat kerja di tapak pembinaan di sekitar negeri ini atas pelbagai kesalahan, sejak bulan lalu.

Tindakan berkenaan dilakukan menerusi Operasi Cegah Runtuh Cegah Jatuh dijalankan sejak 25 Februari lalu membabitkan 29 tapak pembinaan sekitar Pulau Pinang.

Pengarah JKKP negeri, Jaafar Leman berkata, menerusi pemeriksaan itu sebanyak 78 notis penambahbaikan dan 55 notis larangan serta-merta sudah dikeluarkan kepada kontraktor terbabit.

Beliau berkata, pelbagai kesalahan dikenalpasti sepanjang pemeriksaan antaranya ialah pemasangan perancah tidak mengikut spesifikasi atau reka bentuk diluluskan.

“Operasi terbabit dijalankan sehingga 24 Mac ini, namun pemeriksaan dan pemantauan akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan keselamatan semua pihak termasuk orang awam.

“Selepas operasi tamat, laporan akan diteliti semula dan tindakan kompaun atau pendakwaan akan diambil ke atas mana-mana pelanggaran terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967 serta peraturan di bawahnya,” katanya kepada media di Georgetown, semalam.

Jaafar ditemui selepas mengadakan pemeriksaan menerusi operasi berkenaan di tapak pembangunan tebusguna Seksyen 8, Jalan Pantai Sinaran, Georgetown.

Mengulas lanjut, Jaafar berkata, operasi berkenaan dijalankan bagi memantau keberkesanan langkah pencegahan diambil pihak kontraktor dalam memastikan aspek keselamatan pekerja di tapak pembinaan.

Beliau berkata, JKKP memandang serius aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang boleh menjadi faktor berlakunya kemalangan di tempat kerja.

“Sepanjang tahun ini, sebanyak 75 kes kemalangan di tapak pembinaan dilaporkan di negeri ini membabitkan empat kematian.

“Operasi kali ini lebih fokus kepada aktiviti membabitkan kerja di tempat tinggi, kerja konkrit dan penilaian terhadap Pegawai Keselamatan dan Kesihatan,” katanya.

Mengikut data JKKP pada 2018, sebanyak 338 kemalangan di tapak pembinaan dilaporkan manakala 97 kompaun turut dikeluarkan dan 43 tindakan mahkamah dengan jumlah penalti sebanyak RM332,300.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 12:27 AM