BERNAMA

Kota Bharu: PAS Kelantan berkemungkinan meletakkan calon untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Jeli dan Gua Musang, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, langkah itu diambil susulan permintaan akar umbi parti tersebut di kedua-dua jajahan tersebut, dan permintaan tersebut telah pun disuarakan kepada pucuk pimpinan Bersatu.

"Antara alasan permintaan kerusi di Jeli dan Gua Musang ialah bagi menjaga moral penyokong dan petugas PAS. Jadi kita minta satu kerusi di Jeli dan satu di Gua Musang, sebab kalau PAS tidak bertanding, tiada satu pun kerusi PAS di situ.

"Misalnya kalau ketiga-tiga kerusi dalam Parlimen Gua Musang itu tiada kerusi PAS, kita takut mengganggu moral petugas dan penyokong PAS di situ, perlu ada satu kerusi PAS di situ supaya boleh memberi semangat yang tinggi kepada penyokong dan petugas untuk bekerja," katanya ketika di temui pada Majlis Perasmian Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, semalam.

Amar Nik Abdullah menyampaikan ucapan  selepas merasmikan Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Amar Nik Abdullah menyampaikan ucapan selepas merasmikan Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Bersatu yang membentuk kerjasama menerusi Perikatan Nasional (PN) bersama PAS, sebelum ini telah diberikan lampu hijau untuk menentang penyandang kerusi daripada Barisan Nasional (BN) di Jeli dan Gua Musang.

Namun kelmarin Setiausaha PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat mengesahkan PAS akan bertanding di 39 kerusi DUN, berbanding perbincangan awal 37 kerusi selepas mendapat persetujuan Bersatu.

Di Jeli DUN Bukit Bunga dan Kuala Balah diwakili penyandang daripada BN, manakala Ayer Lanas disandang Bersatu, sementara di Gua Musang pula ketiga-tiga DUN iaitu Nenggiri, Paloh dan Galas dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

DUN Kelantan memiliki 45 kerusi, PAS mendominasi dengan 37 kerusi, BN (tujuh) dan Bersatu (satu).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 8:22 PM