PERSIDANGAN DUN Kelantan, November lalu. FOTO arkib NSTP
PERSIDANGAN DUN Kelantan, November lalu. FOTO arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan dianggap mewakili Perikatan Nasional (PN) selepas mereka dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin BERSATU nanti.

Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata, Azizi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri juga mungkin berada di blok Bebas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan akhir bulan ini.

"Buat masa ini nasib kedua-dua Ahli Parlimen diserahkan kepada Lembaga Disiplin BERSATU kerana tindakan mereka melanggar akta parti.

"Berdasarkan dua kes sama sebelum ini, nasib kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan juga dijangka sama iaitu digantung keahliannya.

"Justeru, sekiranya mereka digantung, mereka bukan lagi Ahli Parlimen dan ADUN mewakili PN selepas ini," katanya ketika dihubungi.

Media sebelum ini melaporkan, BERSATU merujuk dua Ahli Parlimen daripada parti itu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri kepada Lembaga Disiplin Bersatu.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Lembaga Disiplin parti itu akan bersidang dalam masa terdekat untuk menentukan hukuman terhadap Mohd Azizi dan Zahari.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, ketika dihubungi berkata, sehingga kini beliau tidak menerima sebarang makluman daripada Mohd Azizi.

"Persidangan DUN Kelantan akan bersidang bermula 22 November ini. Kita tunggu dan lihat saja kerana sehingga kini saya tidak menerima sebarang pemakluman daripada beliau sama ada kekal sokong kerajaan negeri atau sebaliknya," katanya.

Berita berkaitan:

Isytihar sokongan pada PM, Ahli Parlimen Gua Musang akhirnya buka mulut

Ahli Parlimen pembangkang isytihar sokong PM tidak hilang kerusi

Ahli Parlimen Jeli pula isytihar sokong kepimpinan Anwar

Saya tak berniat khianat Bersatu, tapi tindakan ini demi Gua Musang - Mohd Azizi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 2:38 PM