Wan Roslan Wan Hamat
Wan Roslan Wan Hamat
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: PAS Kelantan akan bertanding di 39 kerusi daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), bulan depan.

Difahamkan, pada awalnya ketika proses pengagihan kerusi dilakukan di antara parti itu dan Bersatu, PAS setuju bertanding di 37 kerusi DUN selepas mengambil kira formula Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) iaitu bertanding di kerusi yang disandang mereka.

Namun, selepas itu PAS memohon dua lagi kerusi yang diberikan kepada Bersatu iaitu masing-masing satu dalam Parlimen Jeli dan Gua Musang dan ia turut dipersetujui pimpinan Bersatu.

Alasan PAS, salah satu DUN di bawah Parlimen Jeli dan Gua Musang perlu ada wakil dari parti itu memandangkan Ahli Parlimen pun dari Bersatu dan dikhuatiri mampu melemahkan semangat jentera parti jika tiada wakil mereka.

Namun diakui semangat luar biasa ditunjukkan PAS kali ini dengan siri ceramah mega yang dimulakan sejak awal bulan lalu sehingga kini tanpa henti, malah sambutan setiap siri ceramah juga dilihat menggalakkan.

Berdasarkan rekod pemerintahan PAS di Kelantan selama 33 tahun, tidak sukar untuk PAS meraih kemenangan kali ini, lebih-lebih lagi dengan keputusan cemerlang pada PRU-15 lalu iaitu 14-0.

Malah, 37 kerusi DUN sudah disandang mereka sejak sekian lama dan mungkin perhatian lebih akan diberikan parti itu untuk kerusi dalam Parlimen Jeli dan Gua Musang yang memihak Umno.

Cabaran untuk parti itu hanya dilihat di dua kerusi berkenaan dalam usaha merampas kerusi milik Umno, lebih-lebih lagi wakil rakyat di dua Parlimen berkenaan juga menunjukkan khidmat cemerlang dalam melaksanakan tugas selain mendapat sokongan Orang Asli.

Pada PRU-14 lalu, PAS memenangi 37 kerusi, manakala BN lapan kerusi sebelum Ahli Dewan Undangan Negeri Air Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar Umno dan menyertai Bersatu.

Perkara itu turut diakui Setiausaha PAS Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat, yang memaklumkan tidak sukar untuk parti itu mempertahankan Kelantan.

Katanya, bukan saja 39 kerusi yang ditandingi mereka sebaliknya kesemua 45 kerusi DUN termasuk milik Umno.

"Jentera sudah bersedia dan kita akan bekerja keras membabitkan semua peringkat bagi mengekalkan kemenangan pada PRN nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 12:43 PM