Wan Ahmad Fayhsal.
Wan Ahmad Fayhsal.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul digesa mengikuti jejak langkah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengisytiharkan kekosongan di enam kerusi Parlimen yang ahlinya digugurkan keahlian daripada Bersatu.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, perkara itu selaras dengan Perlembagaan Parti dan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

"Saya turut menggesa Speaker DUN Selangor, Lau Weng San turut mengisytiharkan kekosongan di kerusi DUN Selat Klang yang mana ahlinya juga telah tergugur keahlian setelah meninggalkan perjuangan parti.

"Adalah penting agar hak rakyat dikembalikan dan mandat baharu ditentukan oleh rakyat semula," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Mohd Amar mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan berkuat kuasa serta-merta.

Mohd Amar berkata, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Bersatu mengenai keahlian Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada Bersatu.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan Majlis Pimpinan Tertinggi untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang) yang juga Adun Nenggiri, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang). Seorang lagi ialah Adun Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang turut mengucapkan tahniah kepada Mohd Amar yang mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

"Tindakan ini adalah selaras dengan kehendak rakyat dan sebagai menghormati matlamat demokrasi di sebalik Undang-Undang Larangan Bertukar Parti yang telah diluluskan sebulat suara oleh Parlimen pada tahun 2022," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 11:17 AM