HASAN beramah mesra bersama para petugas media Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama). FOTO Bernama
HASAN beramah mesra bersama para petugas media Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama). FOTO Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mengharapkan isu permohonan maaf yang dituntut oleh Pemuda parti itu kepada DAP tidak menjadi punca kepada keretakan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, pandangan dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke agar pemuda perlu melupakan kisah silam dan 'move on' itu adalah terpulang kepada penilaian masing-masing.

Bagaimanapun kata Ahli Parlimen Rembau itu, permohonan maaf yang diminta oleh Pemuda Umno kepada DAP bukan merupakan satu kesalahan.

"Saya tidak pula mengatakan DAP perlu meminta maaf. Tetapi, tidak ada salahnya.

"Adalah satu perkara yang baik. Jika DAP boleh membuat permohonan maaf kepada rakyat, kerajaan Sarawak (sebelum ini, maka) ia boleh menambahkan lagi keakraban kerana kita menjadi rakan dalam Kerajaan Perpaduan ini.

"Jadi, ini untuk sekali gus menghapuskan syak wasangka dan kesangsian antara satu sama lain," katanya ketika ditemui Laman Media sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, tadi.

Sementara itu, menyentuh ahli Umno yang telah dipecat atau digantung berkata-kata buruk mengenai parti, Mohamad sebaliknya menyatakan pihaknya tidak boleh menahan mereka.

"Kita tidak dapat menahan orang daripada bercakap. Apa jua yang dicakapkan, apa jua yang dilemparkan itu ahli Umno nilailah sendiri.

"Orang ramai boleh menilai apa jua yang dikatakan kerana kita ini mengamalkan kebebasan bersuara," katanya.

Menteri Pertahanan itu turut berpandangan, kata-kata buruk itu kadangkala merupakan 'psywar' atau melepaskan geram kepada parti.

"Saya harap ahli Umno terutamanya tidak terganggu dengan apa yang diperkatakan," katanya.

Mohamad juga mengakui, sebagai sebuah organisasi mereka tidak lekang dengan kelemahan dan meminta ahli parti itu menyalurkan pandangan mereka mengikut saluran yang sepatutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 3:56 PM