Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Walaupun sedang digantung keahlian, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hari ini menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023.

Ditemui pemberita di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, antara sebab beliau hadir adalah untuk berjumpa dan mengucapkan tahniah kepada Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh yang disifatkannya sebagai seorang berani.

Beliau turut memuji Muhamad Akmal yang mempunyai ciri-ciri seorang Pemuda, berbanding dengan bekas penyandangnya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

"Salah satu sebab saya datang hari ini saya nak ucapkan tahniah pada Muhamad Akmal. Inilah (baru) Pemuda, bukan macam Pemuda Asyraf. Itu sebab dia bertanding tiga kali kalah," sindirnya.

Kata Tajuddin, sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau itu berada di landasan yang betul dan konsisten, parti itu mempunyai harapan, selain ia bakal diwarisi pewaris yang boleh membangkitkan Umno.

"Kalau macam ini betul dan konsisten, ada harapan parti ini diwarisi oleh pewaris yang boleh membangkitkan semula Umno.

"(Tetapi) kalau harapkan muka yang ada itu, tidak ada pewarisnya," katanya.

Tajuddin dalam masa sama turut menyokong gesaan Muhamad Akmal agar DAP memohon maaf kepada Umno atas segala tindakan yang pernah dibuat sebelum ini.

TAJUDDIN pada sidang media selepas menghadiri PAU 2023 di Dewan Merdeka WTCKL. FOTO Eizairi Shamsudin.
TAJUDDIN pada sidang media selepas menghadiri PAU 2023 di Dewan Merdeka WTCKL. FOTO Eizairi Shamsudin.

Tegasnya, sekiranya DAP mahu berbaik dan berubah, mereka seharusnya berterus terang seperti mengisytiharkan tidak lagi memperjuangkan Malaysian Malaysia.

"DAP tunjukkan dengan terang dan nyata tanpa sebarang keraguan, isytiharkan. Satu daripadanya Malaysian Malaysia. Keduanya hak istimewa orang Melayu, pertahankan," katanya.

Menyentuh mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke agar Pemuda Umno melupakan kisah silam dan move on, Tajuddin berkata tidak bersetuju dengan perkara sedemikian.

"Tak boleh semudah itu. Dia seorang tak boleh. Dia cuma Setiausaha Agung, bukannya DAP itu dia punya.

"Kita nak tahu keseluruhan ahli, pemimpin DAP membuat pendirian yang tegas dan nyata sebagaimana Anthony Loke cakap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 6:21 PM