MUHAMAD Akmal pada sidang media di Menara Dato’ Onn. FOTO Fathil Asri
MUHAMAD Akmal pada sidang media di Menara Dato’ Onn. FOTO Fathil Asri
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Pemuda Umno hari ini menegaskan tiada keperluan Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di Johor yang turut membabitkan Pakatan Harapan (PH) dalam pentadbiran bersama dengan Barisan Nasional (BN).

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ini disebabkan kerajaan yang dibentuk oleh BN di negeri itu stabil dan berjalan dengan baik.

"Bagi saya tidak ada keperluan untuk kita mendesak kerajaan Johor tubuhkan Kerajaan Perpaduan. Paling penting hari ini ialah rakyat nak tengok kerajaan ini ditadbir dengan baik atau tidak.

"Itu yang paling penting. Sama ada Kerajaan Perpaduan atau tidak, yang penting rakyat mendapat manfaat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelepasan Misi Bantuan Banjir Pemuda Umno ke negeri pantai timur di Menara Dato' Onn di sini, hari ini.

Sebelum ini, Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menuntut penubuhan segera Kerajaan Perpaduan di negeri itu sebagai menyahut seruan penubuhan kerajaan di peringkat pusat.

Sementara itu, mengulas misi bantuan banjir di negeri Pantai Timur, Dr Muhamad Akmal mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Pemuda Pas dalam membantu mereka yang terkesan.

"Kita mengalu-alukan apa jua kerjasama. Bagi saya, misi ini bukan soal parti, bukan soal bangsa, bukan soal agama (tetapi) ini soal kemanusiaan.

"Bila soal kemanusiaan ini, kita tidak bercakap nak bantu orang parti sahaja. Kita membantu semua. Kita mengalu-alukan apa jua bentuk dan kita akan ke sana waima kalau ada Pemuda Pas, Pemuda Amanah atau mana-mana pemuda bekerjasama dengan kita boleh," katanya.

Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka turut menganggarkan kira-kira RM40,000 diperuntukkan bagi fasa pertama misi bantuan ke Pantai Timur ini termasuklah air mineral, makanan kering dan sebagainya.

Selain itu katanya, Pemuda Umno juga akan membantu membersihkan mana-mana rumah yang terjejas disebabkan banjir ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 5:34 PM