Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) disaran menawarkan skim ganjaran dan tangga gaji lebih menarik kepada doktor dan jururawat yang berkhidmat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, ia susulan isu kekurangan doktor dan jururawat yang serius di negeri ini yang dikesan berhijrah ke Singapura untuk berkhidmat di republik itu.

Katanya, penghijrahan doktor dan jururawat dari Johor itu menjejaskan hospital utama terutama Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

"Susulan isu kekurangan doktor dan jururawat yang serius di negeri ini terutama di HSA dan HSI, kita mencadangkan supaya KKM dan JPA menawarkan skim ganjaran dan tangga gaji lebih menarik untuk doktor dan jururawat yang berkhidmat di negeri ini.

"Johor kekurangan 2,800 kakitangan kesihatan, membabitkan 2,120 doktor dan 680 jururawat. Kekurangan staf kesihatan menjejaskan klinik pakar HSA yang merekodkan 1,800 temujanji pesakit sehari manakala 1,900 temujanji klinik pakar di HSA yang kini mengalami kesesakan.

"Ia juga menjejaskan rawatan di Unit Kecemasan dan Trauma HSA dan HSI yang puratanya menerima antara 400 hingga 600 pesakit sehari," katanya pada sidang media selepas pelancaran sambutan Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Johor, di sini, hari ini.

LING Tian Soon ketika ditemuramah selepas Sambutan Hari Jururawat  Antarabangsa peringkat negeri di PERSADA Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
LING Tian Soon ketika ditemuramah selepas Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa peringkat negeri di PERSADA Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Pelancaran sambutan disempurnakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Dalam pada itu, Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Yong Peng berkata, KKM memaklumkan akan menghantar pelan cadangan terperinci bagi menyelesaikan isu kekurangan doktor dan jururawat kritikal di negeri ini.

Katanya, jaminan itu diberikan KKM susulan tinjauan isu berkenaan yang disertai pegawai tertinggi KKM di HSI semalam.

"Perbincangan bersama KKM selepas tinjauan di HSI sangat positif apatah lagi kementerian memberi jaminan untuk bantu Johor menambah staf perubatan.

"Fokus kita adalah bagi dua wad yang tidak beroperasi di HSI akibat kekurangan doktor dan jururawat yang boleh menempatkan 108 katil, supaya ia dapat dibuka sekali gus dapat mengatasi isu kesesakan wad di hospital berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 12:57 PM