Onn Hafiz Ghazi
Onn Hafiz Ghazi
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan Persekutuan dirayu membantu segera menyelesaikan isu kekurangan doktor dan jururawat di negeri ini terutama Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, penyelesaian isu itu amat penting bagi membolehkan perkhidmatan kesihatan terbaik disalurkan kepada rakyat.

Katanya, isu itu dibangkitkan dalam lawatan di HSI bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Seri Norazman Ayob, semalam.

"Antara isu yang dibangkitkan selepas lawatan di HSI yang amat memerlukan penyelesaian segera adalah kekurangan doktor dan jururawat.

"Kekurangan staf di HSI menyebabkan Wad 9A dan 10A yang membabitkan lebih 100 katil pesakit tidak dapat digunakan.

"Isu sama juga menyebabkan hanya 10 dari 18 bilik pembedahan dapat digunakan di HSI.

"Ia mengakibatkan pesakit terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan dan bermakna ramai juga pesakit yang terkorban sementara menunggu giliran untuk dirawat di HSI," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 23 Mei lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dilaporkan berdepan isu kekurangan kakitangan kesihatan, terutamanya doktor dan jururawat yang dianggarkan hampir 2,800 staf di negeri ini.

Onn Hafiz dilaporkan berharap KKM dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu bagi membolehkan hospital awam di negeri ini dapat berfungsi pada tahap optimum selain menampung keperluan serta menjamin kesejahteraan dan kesihatan rakyat.

Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap merayu kepada kerajaan Persekutuan membantu negeri ini menyelesaikan isu kekurangan staf ini pada kadar yang segera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 10:47 AM