MESYUARAT Kabinet, gambar fail 5 Disember 2022. FOTO Ihsan Pejabat Perdana Menteri
MESYUARAT Kabinet, gambar fail 5 Disember 2022. FOTO Ihsan Pejabat Perdana Menteri
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Menteri dan wakil rakyat di negara ini perlu mendahului dan mengguna pakai inisiatif pemansuhan skim pencen yang mahu dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.

Ketua Pemuda MCA Ling Tian Soon berkata, wakil rakyat dan menteri perlu menjadi contoh dan berada di garisan hadapan.

Sehubungan itu, Tian Soon memohon kerajaan mengkaji semula dasar berkenaan dan tidak hanya melaksanakan pemansuhan pencen penjawat awam sahaja.

Beliau yang juga Exco Kesihatan dan Perpaduan Johor berkata, jika Kerajaan Persekutuan mencadangkan pemansuhan skim pencen untuk penjawat awam, biarlah Wakil Rakyat, Menteri dan Yang Berhormat mula dulu.

"Ya beban kewangan kerajaan kita berat, tapi janganlah sesekali menolak rakyat kita ke depan dahulu. Tambahan pula sektor kesihatan kita mengalami kekurangan staf seperti doktor dan jururawat yang serius.

"Isu ini akan semakin teruk sekiranya rakyat tidak mahu berkhidmat dengan pemansuhan pencen dan tawaran kontrak ini. Skim gaji juga perlu dikaji semula bagi memastikan perkhidmatan awam kita kompetitif. Sebarang dasar dilaksanakan perlu ditelitikan dan memastikan ia tidak akan menjejaskan perkhidmatan awam negara kita," katanya.

Semalam, Kabinet dilaporkan bersetuju supaya perjawatan bagi penjawat awam baru kerajaan berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata, satu pengumuman mengenai tempoh pelaksanaannya akan dibuat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

Beliau dilaporkan berkata, bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas, sementara penjawat awam baru itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengambilan secara lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam dilaporkan adalah langkah interim (bersifat sementara) ke arah pelaksanaan kaedah baharu lantikan tetap pegawai awam yang akan membabitkan pindaan akta berkaitan.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan semalam memaklumkan pegawai yang dilantik menerusi lantikan kontrak (interim) akan dilantik secara tetap menerusi kaedah baharu di bawah sistem saraan perkhidmatan awam yang akan dimuktamadkan kelak.

"Lantikan ke jawatan tetap ini juga tertakluk kepada prestasi dan perakuan Ketua Jabatan selanjutnya.

"Pelantikan ini adalah berdasarkan peraturan dan dasar semasa yang berkuat kuasa iaitu Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Urusan Perkhidmatan (UP) termasuk penetapan gaji dan kemudahan," kata kenyataan itu.

Menurut JPA, kerajaan pada 12 Julai 2023 memutuskan supaya suatu kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam diperkenal ke arah mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam.

Kenyataan JPA memaklumkan keputusan itu diambil bagi memastikan kemampanan kewangan kerajaan bagi jangka panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 11:30 AM