Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan Pusat memperuntukkan RM140 juta bagi menaik taraf Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, yang sebelum ini pernah beberapa kali berdepan insiden kebakaran.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, proses naik taraf itu dijangka dimulakan bulan depan dan dijangka mengambil masa tiga tahun.

Katanya, surat kelulusan mula kerja juga sudah dikeluarkan mulai 12 Julai lalu dengan kerja naik taraf dijangka siap pada 11 Julai 2025.

"Skop projek naik taraf yang akan dibuat membabitkan kerja naik taraf bekalan elektrik utama di HSA daripada 6.6 kilowatt (kV) kepada 33 kV, naik taraf sistem pendawaian elektrik, sistem mekanikal, sistem pencegahan kebakaran, sistem gas perubatan, Building Automation System (BAS), sistem teknologi maklumat (ICT), kerja konservasi dan kerja perlindungan alam sekitar dan infrastruktur berkaitan.

"Proses naik taraf ini tidak akan mengganggu operasi harian HSA kerana rawatan akan diteruskan seperti biasa. Projek ini dilakukan secara berfasa dan jika perlu kita akan pindahkan pesakit di HSA ke wad atau hospital lain bagi memastikan rawatan dapat diteruskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama JKNJ di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Ir, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Ling Tian Soon (tiga kanan) melawat Hospital Sultanah Aminah Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ling Tian Soon (tiga kanan) melawat Hospital Sultanah Aminah Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Pada 15 Jun lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika bertitah merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, dilaporkan menzahirkan rasa kecewa baginda dengan Kerajaan Pusat yang seolah-olah menganak-tirikan negeri ini kerana tidak menyalurkan peruntukan mencukupi bagi menjalankan kerja penyelenggaraan terhadap infrastruktur awam di negeri ini.

Sultan Ibrahim dilaporkan sedih berikutan bangunan Persekutuan yang tidak diselenggara dengan baik seperti HSA, Hospital Sultan Ismail (HSI), Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar dan juga kemudahan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang perlu dipertingkat dengan sistem penyampaian lebih cekap dan selesa.

Dalam pada itu, Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, berkata proses naik taraf HSA adalah satu keperluan selepas berlaku kebakaran yang serius pada 2016 sekali gus memastikan keselamatan di hospital berkenaan.

Katanya, kerja naik taraf HSA itu juga akan dipantau JKR Johor dan Mohamad Fazli selaku EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur bagi memastikan ia berjalan mengikut jadual dan tidak mengalami masalah.

Dalam pada itu,Tian Soon berkata, kerajaan Johor juga akan mengatasi isu parkir yang kritikal di HSA, dengan langkah menyediakan tapak meletak kenderaan di kawasan Penjara Ayer Molek, di sini.

"Langkah ini mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi mengatasi masalah kekurangan parkir di dalam perkarangan HSA yang dialami ketika ini.

"MBJB akan menyediakan 'shuttle bus' secara percuma dari kawasan penjara itu untuk orang ramai yang mahu berurusan di HSA yang hanya mengambil perjalanan selama lima minit.

"Selain itu, kita juga akan tambah 70 lagi lot parkir baharu di hadapan asrama kakitangan HSA tidak jauh dari bangunan induk serta lobi hospital. Kerja naik taraf dan menurap lot parkir itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 3:57 PM