SYED Saleh. FOTO Arkib NSTP
SYED Saleh. FOTO Arkib NSTP
Syuhada Choo Abdullah


Makkah: Lapan jemaah haji Malaysia sedang menerima rawatan dan berada dalam keadaan stabil di hospital di Madinah serta Makkah.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, mereka yang rata-ratanya berusia 60 tahun ke atas itu merangkumi tujuh jemaah haji mengalami jangkitan paru-paru dan seorang lagi cedera pada kaki akibat terjatuh di Madinah.

Beliau berkata, masing-masing tiga jemaah haji terbabit dimasukkan ke pusat rawatan TH di Madinah dan Makkah, manakala dua lagi menerima rawatan di hospital Arab Saudi di Makkah.

"Bagaimanapun secara keseluruhan hingga kini, jemaah haji Malaysia di Tanah Suci berada dalam keadaan baik, sihat dan bersemangat dalam melaksanakan ibadah mereka," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat TH di Makkah, Abraj Al-Janadriyah.

Dalam pada itu, Syed Saleh yang juga Pengarah Eksekutif Haji TH memaklumkan, operasi haji negara bagi musim 1444H/2023M yang bermula 21 Mei lalu, berjalan lancar di Malaysia serta Tanah Suci.

Beliau berkata, sebanyak 30 daripada keseluruhan jumlah 98 penerbangan membawa jemaah haji tahun ini, sudah berlepas dari Malaysia.

"Sebanyak 50 penerbangan berkenaan dijadualkan mendarat di Madinah, manakala 48 lagi di Jeddah yang mana jemaah haji akan dibawa terus ke Makkah. Penerbangan terakhir dari Malaysia dijadualkan mendarat di Tanah Suci pada 21 Jun depan.

"Hingga kini, seramai 9,078 jemaah haji telah tiba di Tanah Suci membabitkan 2,966 berada di Makkah dan baki 6,112 di Madinah.

"Jemaah yang sedang berada di Makkah dianjur menunaikan umrah pertama serta menyertai pelbagai aktiviti dirancang pihak TH, termasuk lima sesi bimbingan yang akan diadakan sebelum wukuf dan satu lagi sesi bimbingan selepas wukuf," katanya.

Syed Saleh menekankan, pasukan operasi haji negara amat prihatin dan sentiasa memantau kebajikan serta kesihatan jemaah Malaysia supaya mereka dapat menyempurnakan ibadah haji dan umrah di Tanah Suci.

Beliau sekali lagi mengingatkan semua jemaah haji Malaysia supaya menjaga kesihatan, dan mereka yang mengalami masalah kesihatan dinasihat segera mendapatkan rawatan awal di klinik di maktab atau zon penginapan masing-masing.

Katanya, jemaah haji juga diminta peka terhadap pelbagai maklumat penting disampaikan TH dari semasa ke semasa, selain mematuhi peraturan ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 12:13 PM