Syed Saleh  membantu membetulkan kain ihram  jemaah.
Syed Saleh membantu membetulkan kain ihram jemaah.
 Syed Saleh  (dua dari kanan) menyambut jemaah yang baru tiba dari Kuala Lumpur ke Jeddah, semalam.
Syed Saleh (dua dari kanan) menyambut jemaah yang baru tiba dari Kuala Lumpur ke Jeddah, semalam.

Makkah: Jemaah haji dinasihatkan tidak mempercayai khabar angin yang disebarkan menerusi media sosial berhubung sesuatu isu kerana dikhuatiri menjejaskan tumpuan mereka kepada ibadat haji.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, jika menerima sesuatu berita yang kurang jelas, jemaah dinasihatkan mendapatkan kepastian mengenai perkara itu daripada pihak Lembaga Tabung Haji (TH).

Katanya, mereka boleh bertanya mengenai sebarang kekeliruan dengan pejabat TH maktab dan zon masing-masing untuk mendapatkan kepastian dari semasa ke semasa.

“Saya nasihat jemaah menumpukan pada ibadat. Ini peluang istimewa dan luar biasa untuk mereka di Tanah Suci melaksanakan ibadat haji mereka yang mungkin datang sekali seumur hidup.

“Mereka perlu cukupkan ilmu untuk melaksanakan ibadat haji. Masih ada masa dan ada pembimbing di maktab.

“Kita tumpukan perhatian kepada ibadat dan kembali ke tanah air kelak dengan haji mabrur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat TH, di sini, semalam.

Syed Saleh berkata, pihak TH sentiasa memantau khabar angin dan isu yang dikitar semula dari tahun sebelum ini kerana ia sedikit sebanyak mengganggu fikiran jemaah.

Beliau turut menasihatkan jemaah supaya tidak terbabit perhimpunan atau perarakan yang dianjurkan di sini.

Baru-baru ini, sebuah portal menyiarkan dakwaan kononnya jemaah haji Malaysia berdepan masalah melakukan tukaran wang Ringgit Malaysia di Arab Saudi.

Berikutan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengeluarkan kenyataan menjelaskan perkara berkenaan.

Syed Saleh berkata, jemaah haji tidak berdepan masalah menukarkan wang Ringgit Malaysia kepada Riyal Saudi kerana ada banyak pengurup wang di Makkah atau Madinah.

Beliau berkata, jemaah juga boleh mengeluarkan wang dalam matawang Riyal di kaunter kewangan TH yang dibuka di maktab penginapan jemaah.

Katanya, TH tidak dapat menyediakan perkhidmatan pengurup wang kerana ia membabitkan proses pelesenan daripada bank pusat Arab Saudi dan pastinya sukar untuk menyediakan perkhidmatan itu.

Sementara itu, beliau berkata, mulai kelmarin TH menerima kemasukan jemaah haji melalui dua gelombang iaitu jemaah sedia ada dari Madinah dan ketibaan penerbangan dari Jeddah yang masuk ke Makkah.

Setakat ini, 11,934 selamat tiba di Tanah Suci dengan 7,318 berada di sini, manakala bakinya di Madinah.

Beliau turut menasihatkan jemaah menjaga kesihatan sebelum ibadat wukuf di Arafah 19 hari lagi berikutan suhu yang tinggi pada waktu siang iaitu antara 42 hingga 44 darjah Celsius.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 6:49 AM