FOTO Reuters
FOTO Reuters
Nasharuddin Muhammad


LEMBAGA Tabung Haji (TH) mengenal pasti beberapa lokasi bagi membina kompleks jemaah haji Malaysia di Makkah dan Madinah.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, dengan ada kompleks itu nanti, semua jemaah haji Malaysia boleh ditempatkan di bawah satu bumbung, tidak seperti sekarang yang berselerak.

Menurutnya, beliau bersama pengurusan kanan TH sudah meninjau beberapa lokasidi cadangkan Arab Saudi bagi pembinaan kompleks berkenaan.

"Lokasi (Makkah) dipilih itu akan ditentukan tidak lama lagi tetapi yang pasti ia mesti tidak jauh dari Masjidilharam.

"Tak payah ada maktab-maktab dah nanti. Doakan satu hari nanti kita dapat membina kompleks TH untuk seluruh jemaah haji Malaysia," katanya pada sidang media di Makkah.

Katanya, cadangan itu antara inisiatif dibincangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ketika lawatan rasminya ke Malaysia, Mac lalu.

Terdahulu, beliau beramah-mesra dengan jemaah haji Malaysia serta bersama-sama memeriahkan majlis prasambutan Hari Kebangsaan 2017 yang serentak dengan Hari Wukuf, Khamis ini.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah, ahli-ahli Lembaga Pengarah TH dan Ketua Rombongan Haji 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Menurutnya, jemaah haji patut bersyukur dan rasa bertuah kerana pada tahun ini, sambutan Hari Kebangsaan kebetulan serentak dengan Hari Wukuf di Arafah.

"Justeru, selain berdoa untuk diri sendiri dan keluarga di Arafah nanti, doakan juga keselamatan, kesejahteraan dan kemakmuran negara kita yang tercinta," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sejak diperkenalkan pada 2011 hingga tahun ini, 5,811 orang berpeluang menunaikan ibadat haji melalui tajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Pada tahun ini saja, 1,100 bilal, imam, siak dan ketua kampung dari seluruh negara terpilih ke Tanah Suci.

"Pada 2011 ketika program ini mula-mula dilaksanakan, hanya 111 orang yang dipilih," katanya.

Seramai 30,200 jemaah haji terpilih menunaikan Rukun Islam kelima pada tahun ini. Bilangan mereka yang mendaftar dan sedang menunggu giliran pula lebih 2.5 juta orang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 11:00 AM