Lokman Adam, hadir untuk perbicaraan kes dalam dua pertuduhan membuat komunikasi jelik terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan tahun lalu di Mahkamah Sesyen. FOTO FATHIL ASRI
Lokman Adam, hadir untuk perbicaraan kes dalam dua pertuduhan membuat komunikasi jelik terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan tahun lalu di Mahkamah Sesyen. FOTO FATHIL ASRI
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seramai 10 saksi pendakwaan dijangka dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan selama 10 hari kes Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam dalam dua pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan, tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh dalam sebutan semula kes di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Bagaimanapun pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan tidak mendedahkan secara terperinci identiti saksi pendakwaan yang akan dipanggil.

Priscilla kemudian menetapkan tarikh perbicaraan pada 5, 6, 7, 11 dan 18 September serta 9, 10, 11, 23 dan 24 Oktober ini.

Beliau juga membenarkan pengecualian kehadiran Lokman pada sebutan kes seterusnya pada 1 Ogos ini untuk mengetahui perkembangan status representasi difailkan pembelaan.

Kalmizah berkata, pihaknya akan memanggil seramai 10 saksi untuk perbicaraan berkenaan.

"Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes dan ingin dimaklumkan representasi difailkan pihak pembelaan Lokman masih di ibu pejabat Jabatan Peguam Negara.

"Pada tarikh sebutan seterusnya, kita boleh serahkan sekali penyataan saksi. Tarikh sebutan dan bicara dipersetujui kedua-dua pihak," katanya.

Peguam bela Lokman, Logen Eskander mengesahkan mengenai persetujuan tarikh terbabit.

"Bagaimanapun kami memohon ketidakhadiran anak guam untuk sebutan kes," katanya yang kemudian tidak dibantah Kalmizah.

Pada 1 September tahun lalu, Lokman, 50, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan melalui aplikasi Facebook atas nama profil 'Lokman Noor Adam Official' dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Bagi pertuduhan pertama membabitkan bekas Perdana Menteri itu, beliau dituduh melakukan perbuatan terbabit pada jam 11.16 malam, 20 Ogos 2022.

Hantaran tersebut kemudian dibaca pada jam 8.15 pagi, 24 Ogos lalu di Mutiara Villa, Jalan Tung Shin, Bukit Bintang, di sini.

Bagi pertuduhan kedua, Lokman dituduh melakukan perbuatan sama terhadap kerajaan pada jam 10.28 malam, 22 Ogos 2022 dan pautan itu kemudian dibaca pada jam 11.30 pagi, 23 Ogos lalu di sebuah restoran di Jalan Sentul, di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 12:29 PM