Najib Razak hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk sambung bicara kes pecah amanah dan pelanggaran kewajipan statutori berkaitan dana SRC International. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Najib Razak hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk sambung bicara kes pecah amanah dan pelanggaran kewajipan statutori berkaitan dana SRC International. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seramai 20 hingga 25 saksi pendakwaan dijangka dipanggil memberi keterangan bagi tiga lagi pertuduhan yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, membabitkan pengubahan wang haram dana syarikat SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin ketika pengurusan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy, di sini, hari ini.

Pada prosiding hari ini, Mohd Ashrof berkata, pihaknya sedang menyiapkan pernyataan saksi sebelum menyerahkannya kepada pihak pembelaan.

"Setakat ini, hanya satu pernyataan saksi sudah siap dan kami memerlukan masa kira-kira tiga bulan untuk melengkapkan kerana bukan semua saksi berada di Lembah Klang manakala pernyataan itu saling berkaitan," katanya.

Mendengar perkara itu, Muniandy memberi tempoh dua bulan iaitu sehingga Mei ini bagi membolehkan pernyataan saksi disiapkan segera sebelum perbicaraan.

Berdasarkan tarikh yang ditetapkan, Najib, 71, dijadual dibicarakan pada 17, 18, 19, 23 dan 24 September ini.

Dalam pada itu, Mohd Ashrof turut memaklumkan pihaknya belum memutuskan representasi yang dikemukakan oleh Najib bagi menggugurkan ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapinya.

Sementara itu, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memaklumkan, pihak pembelaan masih menunggu keputusan representasi yang dikemukakan pada 1 Ogos tahun lalu.

"Namun representasi masih belum ada keputusan, tidak adil kepada anak guam saya," katanya.

Oleh itu, Muhammad Shafee memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) anak guamnya daripada pertuduhan itu.

Bagaimanapun, Muniandy tidak membuat sebarang perintah berhubung permohonan itu selepas Mohd Ashrof memaklumkan arahan yang diterima setakat ini adalah supaya pendakwaan diteruskan.

Selepas mendengar makluman kedua-dua pihak, Muniandy kemudian menetapkan 27 Mei ini bagi sebutan semula kes selain pihak pendakwaan diarah menyerahkan pernyataan saksi kepada pembelaan sebelum 20 Mei.

Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, iaitu menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.

Najib didakwa melakukan kesalahan terbabit di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 11:53 AM