Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 dan diesel tahun depan, dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pangkalan data bersepadu itu akan meneliti semua data sedia ada bagi membolehkan subsidi bersasar berkenaan diberikan kepada sasaran yang tepat.

Katanya, penelitian semula semua data bagi menyiapkan PADU itu dilaksanakan selepas dipersetujui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), yang diadakan minggu lalu.

"Kabinet sudah bincangkan isu subsidi bersasar RON95 dan diesel yang akan dilaksanakan tahun depan.

"MTEN sudah dimaklumkan supaya segera meneliti semua data daripada pelbagai agensi kerajaan supaya ia dapat disepadukan dengan sistem PADU yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

"Ia bagi menyelaraskan semua data pelbagai agensi kerajaan yang ada dan apabila kita kuat kuasakan subsidi bersasar ini, kita akan pastikan ia benar-benar tepat sasarannya dan tidak berlaku ketirisan. Itu yang kita harapkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pulai, di sini, hari ini.

SALAHUDDIN  menyampaikan duit raya pada Sambutan Rumah Terbuka Hari Rava Aidilfitri Parlimen Pulai. FOTO Nur Aisyah Mazalan
SALAHUDDIN menyampaikan duit raya pada Sambutan Rumah Terbuka Hari Rava Aidilfitri Parlimen Pulai. FOTO Nur Aisyah Mazalan

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Khamis lalu, Salahuddin dilaporkan berkata, pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 dan diesel dijangka mula dilaksanakan pada tahun depan.

Beliau dilaporkan berkata, MTEN yang membabitkan beberapa kementerian bersetuju supaya satu pangkalan data bersepadu digunakan bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar itu berkesan.

Perbincangan itu membabitkan KPDN, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Berita berkaitan:

Subsidi bersasar diesel dijangka dilaksana tahun depan

Data bersepadu, komprehensif mekanisme beri subsidi bersasar [METROTV]

Subsidi petrol berdasarkan kenderaan tak adil - Penganalisis

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 3:28 PM