Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan akan menggunakan pangkalan data bersepadu dan komprehensif daripada Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Perangkaan Malaysia, Khazanah Nasional selain Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam mekanisme pemberian subsidi bersasar termasuk petrol RON95.

Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata beliau ingin memperbetulkan salah faham bahawa kerajaan akan hanya menggunakan pangkalan data JPJ dan merujuk kepada CC kenderaan saja untuk pemberian subsidi bersasar petrol RON95.

Katanya, data JPJ itu hanyalah satu daripada elemen yang akan digunakan dalam pemberian subsidi bersasar petrol RON95.

"Saya sudah nyatakan dengan jelas tempoh hari, data JPJ itu adalah satu daripada elemen yang akan digunakan dalam pemberian subsidi bersasar membabitkan petrol RON95.

"Kita juga ada data Bank Negara, LHDN, Jabatan Perangkaan Malaysia Khazanah Nasional selain kajian-kajian yang dibuat universiti tempatan yang akan dirujuk.

"Jadi kita harus melihat kepada semua data berkenaan dan bukan hanya data JPJ saja diperlukan.

"Memang antara data yang akan dirujuk adalah data JPJ, namun perlu ada pusat data yang lebih bersepadu dan komprehensif untuk kerajaan menjayakan pemberian subsidi bersasar dengan berkesan.

SALAHUDDIN membuat tinjauan harga barangan pada Program Jualan Rahmah Daging Import di Econsave Pontian, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
SALAHUDDIN membuat tinjauan harga barangan pada Program Jualan Rahmah Daging Import di Econsave Pontian, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.

"Jadi, tidak tepat kerajaan hanya akan rujuk pangkalan data JPJ dan berdasarkan CC kenderaan saja untuk kita beri subsidi bersasar petrol RON95," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis temu rapat Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, di sini, semalam.

Sabtu lalu, Salahuddin dilaporkan memaklumkan pangkalan data JPJ akan digunakan sebagai satu daripada elemen dalam pemberian subsidi bersasar membabitkan petrol RON95.

Beliau dilaporkan berkata, itu antara yang dipersetujui dalam mesyuarat kementeriannya bersama dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Ekonomi, minggu lalu.

Salahuddin dilaporkan berkata, pangkalan data JPJ digunakan untuk subsidi petrol RON95 kerana kerajaan boleh kenal pasti cc kenderaan golongan sasaran untuk subsidi petrol berkenaan.

Semalam, rata-rata pengguna dilaporkan tidak bersetuju dengan mekanisme kerajaan untuk memberi subsidi bersasar minyak RON95 berdasarkan kepada kuasa kuda (cc) kenderaan.

Pengguna berpendapat, cc kenderaan tidak menggambarkan keadaan sebenar ekonomi pengguna, lebih-lebih lagi banyak kenderaan mewah kini tampil dengan cc lebih kecil seperti jenama Mercedes dan Honda.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Prof Madya Dr Baharom Abdul Hamid, turut dilaporkan berkata pada masa kini kebanyakan kenderaan mewah turut menggunakan cc yang rendah, sekali gus mekanisme hanya merujuk data JPJ untuk subsidi bersasar petrol RON95, tidak sesuai.

Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, kerajaan

perlu menghimpunkan semua data daripada semua agensi berkaitan sekali gus mewujudkan pangkalan data lebih bersepadu bagi pelaksanaan pemberian subsidi bersasar supaya ia dapat mencapai sasaran sekali gus menjangkau golongan disasarkan.

"Jadi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan semestinya Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan meneliti dan melihat semua data itu sebelum kerajaan membuat keputusan akhir mengenai mekanisme pemberian subsidi bersasar termasuk petrol RON95," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 8:32 AM