Mohd Iskandar Ibrahim

Kuala Lumpur: Sebanyak 35 peratus golongan kaya (T20) menikmati subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) dengan nilai sebanyak RM17.8 bilion tahun lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata bagi kategori B40 pula, sebanyak 24 peratus golongan berkenaan memanfaatkan subsidi terbabit manakala M40 membabitkan 41 peratus.

"Jika kita tidak mahu lagi T20 mendapat subsidi petrol, diesel dan LPG, kerajaan boleh menjimatkan sebanyak RM15 bilion ke RM17 bilion.

"Jadi Ahli Yang Berhormat boleh membayangkan berapa banyak perkara lain yang kita boleh gunakan daripada RM15 bilion ke RM17 bilion itu untuk membantu rakyat dalam pelbagai perkara dan urusan di 26 kementerian," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) sama ada penggunaan pangkalan data bersepadu dalam mekanisme subsidi bersasar benar-benar berkesan.

Menjawab soalan asal Ahmad Amzad sama ada kerajaan berhasrat melaksanakan subsidi bahan api RON95 serta LPG dan Minyak masak secara bersasar kepada golongan B40, Ahmad berkata, kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar berasaskan kepada model yang bersesuaian dan kebolehlaksanaan.

Katanya, pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar itu akan tetap memanfaatkan sebahagian besar rakyat Malaysia tanpa memberi implikasi yang besar kepada kenaikan kos sara hidup.

"Untuk makluman, jumlah perbelanjaan subsidi kepenggunaan bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM66.3 bilion merangkumi subsidi petrol, diesel dan LPG, skim subsidi minyak masak, subsidi bil elektrik dan subsidi harga ayam dan telur yang juga antara subsidi dengan perbelanjaan terbesar.

"Langkah pemberian subsidi dan bantuan dilihat berjaya mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup rakyat. Bagaimanapun pelaksanaan yang tidak bersasar menyebabkan ketirisan berlaku.

"Jurang harga yang tinggi antara harga pasaran dan harga bersubsidi telah meningkatkan risiko penyeludupan terutamanya diesel. Ini dapat dilihat dari kecenderungan penggunaan diesel yang meningkat hampir satu kali ganda," katanya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan komited melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar bagi mengurangkan ketirisan dengan langkah pertama yang diambil adalah melalui pemberian subsidi bil elektrik secara bersasar pada separuh tahun 2023 apabila sebahagian kos dilepaskan kepada industri termasuk perbadanan multinasional.

Jelasnya, melalui langkah itu, kerajaan masih menanggung jumlah subsidi elektrik sebanyak RM10.8 bilion berbanding jumlah asal sebanyak RM14.9 bilion.

Secara perinciannya, perbelanjaan dan subsidi bagi tahun 2020 bagi petrol, diesel dan LPG adalah sebanyak RM50.8 bilion, minyak masak (RM2.4 bilion), elektrik (RM9.8 bilion), harga ayam dan telur (RM1.8 bilion), kepenggunaan lain seperti tepung, edaran barang, penyeragaman harga subsidi Sabah Electricity Sdn Bhd (RM1.5 bilion).

"Jumlah semua sekali yang saya sebut itu ialah RM66.3 bilion pada tahun 2022," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 1:36 PM