NAHAS helikopter TLDM yang mengorbankan 19 pegawai dan anggota.
NAHAS helikopter TLDM yang mengorbankan 19 pegawai dan anggota.
Muhamad Lokman Khairi


Ipoh: Keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Lumut, 23 April lalu, berlapang dada menerima hasil laporan akhir dikeluarkan Lembaga Siasatan, hari ini.

Bapa kepada Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi iaitu Mohd Termizi Abdul Ghani, 68, berkata dia akur selepas membaca laporan yang diterbitkan pagi tadi.

Menurutnya, tiada apa perlu dipertikaikan kerana dia yakin siasatan berhubung insiden itu dijalankan secara terperinci.

"Laporan itu saya sudah baca dan saya tidak buat apa-apa andaian atau spekulasi tentang kejadian.

"TLDM pasti meneliti sepenuhnya, jadi mereka lebih arif untuk tentukannya (punca kejadian)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Termizi berkata, isteri Mohd Shahrizan, Noor Ain Mohammad Ariffin, 41, serta ketiga-tiga anak Nurul Shahfiqah, 21, Nurul Shahfizah, 20, dan Muhammad Shahfirul Aizad, 15 juga menerima laporan akhir itu dengan tenang, namun belum bersedia untuk ditemubual.

"Insya-Allah, kami akan adakan majlis tahlil buat Allahyarham di surau dekat Batu 10 Lekir, Sabtu ini," katanya.

Tambahnya, dia dan isteri, Hasnah Yasim, 67, kerap mengunjungi pusara anak sulung daripada tujuh beradik itu sehingga sekarang.

"Selang dua atau tiga hari, mesti kami pergi ke kubur arwah," katanya.

Sementara itu, ibu saudara kepada Pegawai Waran II Norfarahimi Mohd Saedy iaitu Laila Fairus Ismail, 58, ketika dihubungi berkata, pihak keluarga menerima punca kejadian yang dilaporkan hari ini sebagai qada dan qadar ketentuan Tuhan.

Katanya, suami Norfarahimi iaitu Muhd Faizul Kameh, 42, serta ketiga-tiga anaknya iaitu Muhamad Alif Farhan, 16, Nur Alwani Fatihah, 12, dan Nur Alwani, 9, yang tinggal di kuarters Pangkalan TLDM Lumut baru sahaja menziarahi pusara di Tanah Perkuburan Islam Kampung Damak di Selama, Ahad lalu.

Laporan akhir insiden helikopter TLDM terhempas yang membabitkan nahas dua helikopter TLDM di Lumut pada 23 April lalu, merumuskan bahawa salah satu pesawat tidak berada pada haluan ditetapkan.

Selain itu lembaga siasatan turut mendapati, pesawat AS 555 SN Fennec tidak berada pada ketinggian ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 5:05 PM