Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kerajaan akan memberikan masa sekurang-kurangnya dua tahun lagi kepada pemain industri kecil bagi menentukan pelan perniagaan mereka sebelum pelaksanaan subsidi bersasar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, langkah itu membolehkan rakyat yang amat memerlukan subsidi menerima manfaat sepenuhnya.

"Kita tidak mahu golongan ini terjejas dan untuk itu kita akan mengadakan libat urus bersama semua kementerian berkaitan bagi memastikan pemain industri kecil termasuk minyak masak supaya mempunyai pelan perniagaan lengkap.

"Mereka harus berinovasi dan kreatif. Kerajaan akan memberikan masa yang secukupnya (sekurang-kurangnya dua tahun) dan tiada sebarang tindakan drastik akan diambil dalam apa juga pendekatan dalam soal ini," katanya ketika menghadiri Majlis Perasmian Persatuan Pengampit Minyak Masak Melayu Zon Utara dan Langkawi Borong Edar di Alor Senjaya, dekat sini, hari ini.

Salahuddin berkata, pihaknya sedang menunggu Pangkalan Data Utama (PADU) untuk menyiap data yang konstruktif menjelang hujung tahun ini sebelum merancang kaedah pengagihan subsidi bersasar.

Katanya, antara barangan bersubsidi yang dilihat mendapat keutamaan adalah diesel, petrol RON95 dan minyak masak peket.

"Sudah pastinya kuota minyak masak bersubsidi sebanyak 60,000 tan metrik setiap bulan itu akan berkurangan dan atas sebab itu kementerian meminta pemain industri kecil minyak masak untuk mula memikirkan mengenai masa depan perniagaan mereka.

"Kerajaan juga bantu dalam bentuk negeri bersempadan yang mana mereka dapat sertai Program Ekonomi Sempadan termasuk membangunkan di selatan Johor yang bersempadan dengan Singapura serta Sabah dan Sarawak yang mempunyai kawasan bersempadanan lebih luas," katanya.

Sebelum ini, pada 18 Mei lalu, Salahuddin berkata, pelaksanaan subsidi bersasar untuk diesel dijangka mula dilaksanakan pada tahun depan dan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang membabitkan beberapa kementerian bersetuju supaya satu pangkalan data bersepadu disiapkan bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar itu berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 2:30 PM
SALAHUDDIN melihat minyak masak peket yang dijual di Majlis Perasmian Persatuan Pengampit Minyak Masak Melayu Zon Utara dan Langkawi Borong Edar di Alor Senjaya. FOTO Zuliaty Zulkiffli
SALAHUDDIN melihat minyak masak peket yang dijual di Majlis Perasmian Persatuan Pengampit Minyak Masak Melayu Zon Utara dan Langkawi Borong Edar di Alor Senjaya. FOTO Zuliaty Zulkiffli