JUN Hao mara suku akhir Terbuka Singapura.
JUN Hao mara suku akhir Terbuka Singapura.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao terus mempamerkan prestasi terbaik apabila mengejutkan pemain ketujuh dunia dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting di pusingan kedua untuk melangkah ke suku akhir Terbuka Singapura, esok.

Namun ia bukan perlawanan mudah apabila Jun Hao berhempas pula sebelum mengetepikan Anthony dalam pertarungan tiga set, 21-14, 10-21, 21-8 dalam 60 minit permainan.

Meskipun di atas kertas, pemain dari Indonesia itu dilihat tiada masalah ke pusingan seterusnya namun Jun Hao membuktikan sebaliknya apabila mempamerkan corak permainan begitu konsisten di set pertama apabila mendahului dari awal sehingga tamat permainan.

Pilihan ketujuh kejohanan itu kembali bangkit di set kedua untuk mengheret permainan ke set penentuan tetapi Jun Hao sekali lagi mempamerkan permainan terbaik untuk mencipta kejutan.

Di suku akhir esok, wakil tunggal perseorangan Malaysia itu bakal melalui satu lagi perlawanan sukar apabila dijangka bertemu pilihan utama kejohanan dari Denmark, Viktor Axelsen atau pemain dari Taiwan, Lin Chun-Yi.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Nur Izzuddin-Goh Sze Fei turut mara ke suku akhir selepas mengetepi lawan dari China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dengan kemenangan straight set, 21-13, 21-16 dalam masa 40 minit.

Mereka bakal bertemu sama ada pasangan dari Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard atau wakil China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu.

"Alhamdulillah, hari ini kami bermain dengan baik dan lebih tenang. Mungkin dari segi komunikasi kami, kami berusaha untuk berbincang tentang setiap perlawanan, apa perlu ditingkatkan, apa kurang daripada permainan kami,"kata Izzuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 5:19 PM