SOON Huat dan Shevon gagal teruskan kemaraan.
SOON Huat dan Shevon gagal teruskan kemaraan.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Corak permainan pantas ditampilkan beregu campuran nombor satu dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong memerangkap pasangan negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai sebelum kecederaan dialami Soon Huat di set ketiga menyebabkan mereka terpaksa menarik di pusingan kedua Terbuka Singapura, hari ini.

Jelas Shevon, pada awal permainan, mereka masih mampu memberi tentangan dan bersaing dengan baik sehingga memenangi set pertama, namun dua set seterusnya, Si Wei-Ya Qiong bangkit dengan permainan lebih baik dan mengekalkan kelajuan mereka di dalam gelanggang.

"Pada set pertama, kami dapat mengawal permainan, tetapi pada set kedua, kita dapat melihat kecepatan kami sedikit turun dan pada set ketiga, Soon Huat cedera lutut.

"Agak susah untuk teruskan permainan kerana ini adalah lawan (terbaik dunia) dan kita perlu 100 peratus cergas untuk melawan mereka. Jadi, saya rasa kita perlu kembali dan berehat sekejap. Kita akan bermula lagi pada minggu depan (di Terbuka Indonesia)," katanya.

Soon Huat turut bersetuju lawan mereka itu bermain sangat baik dan mempunyai gaya permainan pantas dan mengamalkan corak menyerang bagi mendapatkan mata demi mata.

"Saya rasa kami kehilangan kecepatan (kecergasan). Pada set pertama, kami masih dapat mengikuti kecepatan mereka.

"Pada set kedua, kami agak lambat. Mereka masih mempunyai kelebihan terhadap kecepatan dan serangan," katanya.

Terdahulu, impian Soon Huat-Shevon yang muncul juara Masters Malaysia, Ahad lalu untuk menamatkan badi ke atas Si Wei- Ya Qiong itu tidak kesampaian apabila mereka terpaksa menarik diri di set ketiga dengan keputusan 22-20,11-21, 11-1.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 5:13 PM