Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. FOTO BERNAMA
Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan jemaah haji terkandas di Makkah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, laporan polis diterima di Negeri Sembilan berkenaan dakwaan itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati isu itu adalah menjurus kepada bidang kuasa siasatan Lembaga Tabung Haji.

"Bagaimanapun sebagai tindakan proaktif dalam menangani isu sebegini, JSJK menubuhkan task force (pasukan khas) yang berperanan melaksanakan siasatan dan tindakan awal terhadap sebarang aduan berkaitan jemaah haji terkandas.

"Pasukan ini bakal bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan akan memastikan tindakan selanjutnya diambil berpandukan peruntukan undang-undang tertentun sesuai dengan kesalahan dikesan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PDRM, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Lembaga Tabung Haji mempunyai undang-undang berbeza bagi menangani isu sedemikian.

Justeru, katanya, penubuhan pasukan khas itu bagi memastikan sebarang aduan diterima berkenaan isu terbabit dapat ditangani secara lebih efisien dan berkesan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, suami isteri terkandas di Makkah memohon bantuan selepas agensi pelancongan menguruskan perjalanan ke Tanah Suci bagi mengerjakan haji menggunakan visa pelancong tidak memberikan kerjasama untuk mengembalikan pasport bagi membolehkan mereka pulang ke Malaysia.

Agensi terbabit yang mengendalikan pakej itu dikatakan ada hubung kait dengan kes tiga jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sabtu lalu.

Anak mangsa yang mahu dikenali sebagai Ena Awil, 33, berkata bapanya berusia 60 tahun ke Makkah pada 2 Mei lalu menggunakan visa pelancong untuk mengerjakan haji.

Menurutnya, bapanya ada menghubunginya menyatakan agensi itu gagal menyediakan visa haji seperti dijanjikan dan ingin menarik diri kerana bimbang berdepan risiko ditahan pihak berkuasa Arab Saudi.

Semalam, Ena dilaporkan bersyukur selepas dimaklumkan bahawa ibu bapanya boleh mengambil pasport di pejabat Konsulat Malaysia di Jeddah pada bila-bila masa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 4:50 PM