FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Melaka: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka menumpaskan dua kegiatan penyeludupan minuman keras dan rokok pelbagai jenama melibatkan rampasan bernilai hampir RM12.8 juta termasuk cukai di sekitar Johor pada Februari dan Mei.

Pengarah JKDM Melaka Nadzri Che Ani berkata kes pertama melibatkan rampasan sebanyak 15.17 juta batang rokok dan 33,835 liter minuman keras pelbagai jenama bernilai RM12.59 juta di sebuah gudang di Parit Sulong, Johor pada 28 Februari lepas.

Beliau berkata operasi gudang tanpa papan tanda premis itu dikesan ketika Bahagian Penguatkuasaan JKDM Melaka melakukan rondaan dan risikan di kawasan disyaki menjadi laluan sindiket di Parit Sulong kira-kira 10 pagi.

"Ketika pemeriksaan dijalankan gudang itu berkunci dan anggota terlibat membuat pemerhatian selama enam jam dari kawasan berhampiran premis berkenaan namun tiada pergerakan aktiviti dikesan.

"Tindakan serbuan kemudian dilakukan ke atas gudang berkenaan kira-kira 6.30 petang dan pemeriksaan menjumpai rokok dan minuman keras disimpan di premis itu selain rampasan turut terdapat di dalam dua lori dan sebuah kontena yang berada di kawasan berkenaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan terperinci masih dijalankan bagi mengesan pihak terlibat namun gudang berkenaan tidak dilesenkan pihak berkuasa tempatan untuk menjalankan apa-apa operasi sejak 2022 dan dua lori serta kontena berkenaan didaftarkan di bawah sebuah syarikat logistik.

Siasatan awal mendapati gudang berkenaan dijadikan stor penyimpanan barangan seludup terbabit sejak setahun lepas dan rokok serta minuman keras itu disyaki dijual untuk pasaran sekitar Melaka dan Johor.

Sementara itu, Nadzri berkata rampasan kedua pula melibatkan sebanyak 4,222.56 liter minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM203,603.12 termasuk cukai yang diseludup menggunakan tiga kenderaan di sekitar Bandar Johor Bahru dan Batu Pahat antara 11.30 malam hingga 4.30 pagi pada dua hari lepas.

Beliau berkata ketika pemeriksaan dijalankan ke atas kenderaan melibatkan dua Toyota Estima dan sebuah Toyota Lexus yang bercermin gelap di bahagian belakang kenderaan itu menemukan minuman keras berkenaan disembunyikan di bawah kain hitam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Terdapat juga cetakan huruf 'MDNP' pada setiap tin minuman keras berkenaan yang bermaksud 'Malaysian Duty Not Paid' dan tiada sebarang dokumen yang dijumpai dalam kenderaan berkenaan bagi membuktikan cukai minuman keras terbabit telah dibayar.

"Tiada tangkapan memandangkan mereka sempat meloloskan diri apabila ditahan namun usaha mengesan pemilik kereta terlibat sedang dilakukan," katanya.

Beliau berkata siasatan terperinci sedang dilakukan bagi mengenal pasti sama ada kedua-dua kes berkenaan mempunyai kaitan dan merupakan sindiket penyeludupan yang sama atau sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 4:36 PM