Suzalina Halid


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat mekanisme subsidi bersasar termasuk diesel dan petrol RON95 dilakukan secepat mungkin dengan memberi perumpamaan, seboleh-bolehnya ia mahu dilaksanakan seawal esok hari.

Namun beliau mengakui pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar yang mahu dilakukan kerajaan itu adalah tidak mudah.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan sedang berusaha ke arah itu dengan meneliti beberapa cadangan bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar terbabit, bersifat efektif.

"Pelaksanaan tidak mudah... kita berusaha ke arah itu melalui pasukan yang kini sedang meneliti beberapa proposal (cadangan)... kalau siap esoklah, tapi kita masih berusaha.

"Ia bersifat sangat rumit... kalau elektrik ok sebab kita boleh kenal pasti rumah atau kilang, tapi diesel ia berbeza dan perkara ini kita perlu kaji," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Penjaja MADANI, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini hari ini.

ANWAR menandatangani plat ketika hadir ke Program Temu Mesra Perdana Menteri di Pusat Penjaja Madani, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
ANWAR menandatangani plat ketika hadir ke Program Temu Mesra Perdana Menteri di Pusat Penjaja Madani, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias

Sebelum ini, kerajaan memaklumkan akan menghapuskan pengkelasan B40, M40 dan T20 secara berperingkat mulai tahun depan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, semua pihak bakal melihat peralihan daripada subsidi menyeluruh manakala pengkelasan B40, M40 dan T20 dihapuskan secara berperingkat mulai 2024.

Kerajaan sebelum ini akan menggunakan Pangkalan Data Utama (PADU) untuk pelaksanaan subsidi bersasar seperti elektrik, petrol RON 95 dan diesel, apabila ia siap tahun hadapan.

Pada masa sama, Anwar mengulangi pendiriannya, hanya golongan 90 peratus individu yang layak mendapat subsidi perlu diberi perhatian berbanding mereka yang kaya.

"Subsidi mesti hanya untuk mereka yang layak bukannya golongan kaya seperti sebelum ini, orang sangat kaya pun dapat subsidi haji dan elektrik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, kerajaan komited untuk menaiktaraf infrastruktur asas pusat penjaja di ibu kota dalam kadar segera.

Katanya, beliau turut mengingatkan penjaja supaya tidak menyalahgunakan lesen diberikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pihak lain bagi mengelakkan tindakan ia ditarikbalik.

Pusat Penjaja Madani adalah projek naiktaraf menerusi program Lestari Niaga@Kuala Lumpur kepada fasiliti yang lebih kondusif dan selesa.

Pusat penjaja ini yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Penjaja Jalan Tuanku Abdul Rahman, dinaiktaraf sejak Mac lalu sebelum siap sebulan kemudian membabitkan 20 unit gerai makanan serta minuman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 11:45 AM