SALAHUDDIN melawat premis selepas merasmikan Persatuan Pengampit Minyak Masak Melayu Zon Utara, hari ini. FOTO Bernama.
SALAHUDDIN melawat premis selepas merasmikan Persatuan Pengampit Minyak Masak Melayu Zon Utara, hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Alor Setar: Kerajaan akan memberikan masa yang secukupnya kepada pemain industri kecil untuk menentukan pelan perniagaan mereka sebelum pelaksanaan subsidi bersasar mula dilaksanakan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pihaknya akan memberikan sekurang-kurangnya tempoh dua tahun kepada pemain industri kecil untuk bersedia sepenuhnya.

"Kerajaan akan melaksanakan sistem subsidi bersasar ini dalam usaha untuk memastikan rakyat yang benar-benar memerlukan akan menerima subsidi minyak yang diberikan...biar subsidi ini sampai terus kepada rakyat.

"KPDN memberikan beberapa pandangan konstruktif dan proaktif supaya pemain industri kecil termasuk minyak masak paket supaya lebih ke hadapan dalam menentukan pelan perniagaan mereka kerana dalam keadaan dunia yang kompetitif ini tidak ada satu industri yang boleh kekal dengan cara lama," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis perasmian Persatuan Pengampit Minyak Masak Melayu Zon Utara dan Langkawi Borong Edar di Alor Senjaya, dekat sini.

Salahuddin berkata pihaknya juga sedang menunggu Pangkalan Data Utama (PADU) yang dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini bagi memperoleh data yang lebih konstruktif.

"Apabila ia (subsidi) diberikan secara bersasar, pastinya kuota minyak masak bersubsidi sebanyak 60,000 tan metrik setiap bulan itu akan berkurangan dan atas sebab itu kementerian meminta pemain industri kecil minyak masak ini untuk mula memikirkan mengenai masa depan perniagaan mereka.

"Jadi, bersedia dari sekarang tetapi kerajaan tidak tergesa secara drastik untuk menarik kuota itu, kita bagi masa yang cukup untuk mereka bersedia ke arah menghadapi sistem subsidi bersasar...kita tidak mahu mereka terjejas sebab itu maklum awal-awal minta bersedia," katanya.

Pada 18 Mei lalu, Salahuddin berkata pelaksanaan subsidi bersasar untuk diesel dijangka mula dilaksanakan pada tahun depan dan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang membabitkan beberapa kementerian bersetuju supaya satu pangkalan data bersepadu disiapkan bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar itu berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 3:23 PM