Bekas pengacara rancangan dokumentari Majalah 3, Abdullah Sidek Majin, 58, meninggal dunia jam 11 malam tadi di Hospital Slim River, Perak.
Bekas pengacara rancangan dokumentari Majalah 3, Abdullah Sidek Majin, 58, meninggal dunia jam 11 malam tadi di Hospital Slim River, Perak.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Bekas wartawan Majalah 3, Allahyarham Abdullah Sidek Majin sering tampil dengan dialog spontan yang amat mencuit hati.

Rakannya, Mohamed Ali Othman, 54, yang pernah sama-sama bertugas di TV3 berkata, ayat yang dilontarkan itu sukar dilupakan sehingga kini.

"Orangnya nampak serius tapi suka berlawak. Yang tak boleh lupa, kami menjalani penggambaran di tepi laut, dia pegang kerang dan dialognya ini kerang, jom cari lagi.

"Saya kata Sidek kau tak ada kerja lain ke ayatnya? Tapi itu yang jadi 'rating' tinggi. Apa yang dia rancang kadang-kadang macam mengarut tapi menjadi.

"Dia antara wartawan yang kalau buat cerita, 'rating' pasti tinggi dan pengikutnya ramai. Dulu ada orang buat satu andaian, Majalah 3 ibarat Majalah Sidek. Lepas dia berhenti keluar YouTube Majalah Sidek," katanya kepada Harian Metro.

Bekas jurukamera TV3 ini berkata, dia juga tidak dapat melupakan pengalaman Allahyarham berdepan serangan jantung sewaktu menjalani penggambaran di dusun jambu di Pahang.

"Dia dalam keadaan tak selesa kerana sakit jantung. Saya minta dia rehat dulu dan dia ajar apa yang perlu saya buat. Bila sampai masa untuk buat 'stand upper' dia nampak sihat dan tunjuk ceria untuk tugasannya.

"Kami tinggal berdekatan di Saujana Utama dan kerap terserempak di masjid untuk solat dan dengar tazkirah. Dia rajin ke masjid dan selalu baca al-Quran. Apa-apa pun kami memang jumpa di masjid.

"Saya pun lama buat program Majalah 3 dengan dan menjelajah banyak tempat di dunia. Dia kalau buat program memang peka, malah dia selalu ingatkan kami buat yang terbaik.

"Dia juga tak lokek belanja kawan-kawan. Dia peramah dan suka berterus terang. Kali akhir saya jumpa dia hujung tahun lepas di masjid," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 5:20 PM