Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tiada perubahan signifikan akan berlaku susulan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkenaan penggunaan kalimah Allah.

Mengakui perkara berkenaan tidak harus dipolemikkan berikutan ia tidak membabitkan perubahan peringkat dasar, Perdana Menteri berkata sejak sekian lama pentadbiran kerajaan bersilih ganti antara parti, keputusan mahkamah itu tetap diguna pakai sehingga sekarang.

"Tak apalah tak setuju (penarikan rayuan), tetapi itu (penggunaan kalimah Allah) keputusan yang lama dan dipakai oleh kerajaan terdahulu pun, dari Barisan Nasional (BN) ke Perikatan Nasional (PN), daripada Umno ke Pas dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) sampailah sekarang, itulah dasarnya.

"Dasarnya iaitu tidak boleh dibenarkan istilah Allah digunakan oleh bukan Islam termasuk dalam kitab mereka.

"Jadi perkataan Allah untuk umat Islam di Semenanjung Malaysia, begitu juga di Sabah dan Sarawak dengan beberapa syarat, tiada perubahan dengan yang sebelum ini.

"Itu yang kita gegarkan, jadi nak riuh rendah mengenainya pasal apa? Apa yang tak kena? Ohhh... Anwar memang liberal, tunduk kepada DAP dan sekarang memang betullah nak merosakkan akidah umat Islam. Apa benda ini?" katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak INTIM, di sini, hari ini.

Mengenai keputusan Kabinet sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, ia bagi memperkemas beberapa perkara yang dirasakan longgar.

Katanya, ia terutama mengenai kelompongan kerana adanya perkara yang tidak jelas dari sudut tindakan dan penguatkuasan.

"Dasar tak berubah kerana di Perak, di Pulau Pinang, di Selangor, di Johor tidak boleh yang bukan Islam menggunakan Allah.

"Ini keputusan mufti-mufti, keputusan Raja-Raja Melayu. Tak ada perubahan.

"Semalam, (mengenai) ketetapan jemaah Menteri itu kerana dia ada masalah sedikit kerana peraturan kita tak jelas dari segi untuk ambil tindakan dan sebagainya, maka kita kaji itu. Kita kaji dan perkemaskan supaya keputusan itu tak berubah.

"Saya rasakan hendak perkemaskan dua tiga (perkara) yang longgar ini. Sebab itu kita minta perkenan Agong untuk kita bentangkan kepada Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu yang akan datang.

"Apakah keputusan itu hendak mengubah dasar? Tidak, tetapi hendak memperkemaskan pelaksanaannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 7:52 PM