Dr Wan Salim Wan Mohd Noor
Dr Wan Salim Wan Mohd Noor
BERNAMA

Georgetown: Kerajaan perlu segera mencadangkan langkah-langkah praktikal yang tuntas bagi dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan, bagi menyelesaikan polemik isu penggunaan kalimah 'Allah', kata Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau berkata, kerajaan boleh memohon perkenan Majlis Raja-Raja untuk Raja-Raja mengadakan sesi penjelasan kepada semua ketua-ketua agama di Malaysia tentang keunikan situasi di Malaysia iaitu kalimah Allah tidak wajar dikongsi kegunaannya bagi tuhan dalam agama selain Islam.

"Duli-Duli Tuanku boleh memberi titah nasihat kepada ketua-ketua agama supaya sudi bekerjasama dalam menyelesaikan kemelut ini. Ia demi mengelak berlakunya konflik perkauman yang akan merugikan serta menyusahkan semua pihak di negara ini.

"Ada kalanya kita perlu mengetepikan kepentingan yang kecil untuk menghindari kemudaratan yang lebih parah," katanya pada kenyataan hari ini.

Beliau mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berasa gusar dengan isu penggunaan kalimah Allah kerana jika perkara itu gagal diselesaikan segera, ia boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara.

Dalam titah sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada Isnin, Seri Paduka Baginda bertitah, polemik penggunaan kalimah Allah bukan pendekatan terminologi dan linguistik, sebaliknya berhubung isu akidah umat Islam dan sebarang kekeliruan akan hanya mengundang musibah.

Wan Salim berkata, Kerajaan Pusat perlu bertindak segera kerana isu penggunaan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan dalam agama selain agama Islam sudah lama dipolemikkan oleh pelbagai pihak di negara ini

Beliau berkata, keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) dan Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri sudah dibuat iaitu melarang kalimah Allah digunakan untuk tuhan dalam agama selain Islam kerana ia adalah hak eksklusif bagi agama dan umat Islam.

Namun katanya, keputusan itu seperti tidak diendahkan oleh pihak tertentu sehingga menyebabkan isu terbabit masih berlarutan.

Beliau bagaimanapun berkata, Sabah dan Sarawak dikecualikan daripada perkara terbabit disebabkan suasana dan latar belakang sejarah kedua-dua negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 12:39 PM