ABDUL Aziz. FOTO Arkib NSTP
ABDUL Aziz. FOTO Arkib NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) kesal dan tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes membabitkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian di Mahkamah Rayuan, baru-baru ini.

Pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya berpendirian bahawa kes itu bukan hanya berkaitan dengan isu pentadbiran dan keselamatan tetapi turut membabitkan akidah dan pentadbiran Islam di bawah bidang kuasa Raja sebagai Ketua Agama Negeri.

"Dalam kes rayuan sebelum ini, Mais dan dua lagi Majlis Agama Islam Negeri dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan untuk hadir dalam kes rayuan ini sebagai amicus curae (sahabat mahkamah).

"Bagaimanapun, Mais terkilan dan kesal dengan tindakan unilateral kerajaan yang menarik balik rayuan ini tanpa berunding dengan Mais dan pihak-pihak lain yang mempunyai kepentingan dalam kes rayuan ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Aziz menegaskan bahawa Mais berpegang teguh dan menjunjung titah Sultan Selangor bertarikh 23 Mac 2021 yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian di negeri ini.

Katanya, dalam titah Sultan Selangor itu menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian dalam apa-apa bentuk sekali pun tetap dilarang penggunaannya di Selangor.

"Baginda berpendirian bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dan tidak boleh digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.

"Namun begitu, baginda tiada halangan sekiranya perkataan 'Tuhan' digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan 'God' dalam apa-apa percetakan atau penerbitan berhubung dengan agama Kristian," katanya.

Beliau berkata, penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Selangor adalah suatu kesalahan jenayah mengikut Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang berkuat kuasa di Negeri Selangor dan juga menyalahi fatwa yang diwartakan di Selangor pada 18 Februari 2010.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah 'Allah' dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka. Notis pemberhentian difailkan Jabatan Peguam Negara pada 18 April lalu.

Berita berkaitan

Isu kalimah Allah: Kabinet persembah cadangan kepada Majlis Raja-Raja

KDN perlu perjelas isu penggunaan kalimah Allah - Dr Zulkifli

Penggunaan kalimah 'Allah' oleh penganut Kristian hanya terpakai di Sarawak - Anwar

Guna kalimah Allah sebagai nama tuhan selain Islam, dianggap hina Islam

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 3:55 PM