Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Isu sensitif berkaitan penggunaan kalimah Allah perlu diperhalusi dan ditangani secara berhemah dengan kenyataan dikeluarkan harus dibuat berhati-hati demi menjaga keharmonian masyarakat majmuk serta kemuliaan agama Islam.

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pihaknya mendesak Kerajaan Perpaduan tegas dalam menangani isu sebegini.

"Wanita Umno menegaskan bahawa kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan yang boleh mencemarkan kemuliaan Islam sebagai agama rasmi di negara ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, KDN dan kerajaan dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Saifuddin dilaporkan sudah mengemuka nota kepada Jemaah Menteri mengenai keputusan KDN menarik balik rayuan di mahkamah berhubung keputusan penggunaan kalimah Allah.

Katanya, nota itu hanya makluman kepada Jemaah Menteri mengenai keputusan yang dibuat oleh KDN berkaitan tindakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 7:10 PM