ZULKIFLI mengadakan pertemuan dengan Mohd Radzi dan tenaga pengajar KUIPs. FOTO Aizat Sharif
ZULKIFLI mengadakan pertemuan dengan Mohd Radzi dan tenaga pengajar KUIPs. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif


Kangar: Satu sesi perbincangan khas dijangka berlangsung dalam tempoh kira-kira dua minggu lagi bagi memperhalusi penghakiman bertulis berhubung isu kalimah Allah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sesi kedua ini terdiri daripada Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) bersama panel akidah dan undang-undang.

"Perbincangan kedua ini adalah lebih berfokuskan kepada 'task force' dari sudut perundangan serta bagaimana kita hendak memperkasakan fatwa berkaitan kalimah Allah ini.

"Perbincangan pertama sudah berlangsung pada 16 Mac lalu selepas keputusan penghakiman berkenaan kalimah Allah ini serta ia sudah dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja," katanya kepada pemberita di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di Kuala Perlis, di sini hari ini.

Katanya, pihaknya bagaimanapun masih menantikan maklum balas daripada Majlis Raja-Raja.

Terdahulu, Zulkifli mengadakan lawatan kerja ke KUIPs bagi melihat perkembangan pembangunan serta pembelajaran disediakan oleh institusi pengajian awam berkenaan.

Turut hadir, Rektor KUIPs, Datuk Mohd Radzi Othman.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Malah, tiga perkataan Arab yang lain iaitu Baitullah, Kaabah dan solat turut menerima kebenaran untuk digunakan.

Pada 15 Mac lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan melalui notis rayuan yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi.

Dalam masa sama, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi titah baginda pada 23 Mac lalu menegaskan kalimah Allah dalam kitab Bible, terjemahan bahasa Melayu atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian di dalam apa jua bentuk yang mengandungi kalimah Allah adalah dilarang penggunaannya di Selangor.

Baginda mengulangi pendirian kalimah Allah ialah kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat kesempurnaan.

Bagaimanapun, sekiranya perkataan 'Tuhan' digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan 'God', baginda tiada halangan atas penggunaan perkataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 12:32 PM