SAIFUDDIN Nasution ketika sidang media pada Majlis Sesi Libat Urus Kementerian Dalam Negeri bersama Badan Pengurusan Keharmonian Agama di kementeriannya. FOTO Bernama
SAIFUDDIN Nasution ketika sidang media pada Majlis Sesi Libat Urus Kementerian Dalam Negeri bersama Badan Pengurusan Keharmonian Agama di kementeriannya. FOTO Bernama
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempersembahkan isu penggunaan kalimah 'Allah' kepada Majlis Raja-Raja Melayu pada hujung bulan ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Jill Ireland yang menjadikan arahan pentadbiraan sebelum ini terkait dengan isu penerbitan dan bahan-bahan agama lain yang perlu diselesaikan.

Katanya,sebarang input Majlis Raja-Raja Melayu, sama ada pandangan atau sebagainya, akan dibawa semula ke KDN untuk diteliti sebagai panduan bagi merangka perintah pentadbiran baharu.

"Sebaik sahaja diluluskan, perintah pentadbiran baharu akan dimulakan bagi mengukuhkan lagi komitmen negaraterhadap keharmonian agama dan kecemerlangan pentadbiran," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi pertemuan bersama Pengurusan Keharmonian Agama di kementeriannya di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul AnuarNasarah; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Saifuddin berkata, pertemuan kali kelima ini dihadiri oleh wakil daripada pelbagai latar belakang agama.

Menurutnya, semua pihakdiberikan ruang untuk membincangkan mengenai pengurusan penerbitan yang mengandungi kalimah 'Allah' di samping memberikan cadangan mengenai penambah baikan Arahan Pentadbiran KDN agar ianya dapat memenuhi ekspetasi masyarakat.

Katanya,kementerian menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar Kerajaan mengharmonikan situasi semasa dan pada masa sama meletakkan penggunaan kalimah 'Allah' pada konteks yang betul dengan mengambil kira keselamatan negara.

"Kementerian komited dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam melalui tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam selaras dengan peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan1984 serta Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Pada Mei lalu ketika menjawab soalan di Parlimen, Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes penggunaan kalimah 'Allah' bertujuan mengelak sebarang keputusan dibuat berterusan bercanggah dengan apa yang diputuskan Majlis Raja-Raja Melayu.

Menurutnya, penarikan rayuan itu memberi ruang kepada kerajaan untuk menambah baik semua aspek, malah ia juga selaras pandangan serta nasihat Peguam Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 5:53 PM