ABDUL Aziz, gambar fail. FOTO NSTP
ABDUL Aziz, gambar fail. FOTO NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan untuk dijadikan sebagai pihak pencelah (intervener) dalam kes rayuan berkaitan penggunaan kalimah Allah demi menjaga kesucian kalimah itu yang berkait rapat dengan akidah orang Islam.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, Mais menjunjung kasih titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Selasa lalu yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan penulisan bagi agama Kristian di Selangor.

Katanya, Mais berpegang teguh dengan pendirian bahawa kalimah Allah adalah suatu kalimah suci yang merujuk hanya kepada Allah iaitu Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas keimanan orang Islam.

"Justeru, kalimah berkenaan tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama lain selain daripada Islam.

"Adalah menjadi tanggungjawab Mais sebagai pihak berkuasa utama berhubung dengan pentadbiran agama Islam di Selangor, selepas Sultan Selangor, untuk memelihara dan menjaga kesucian agama Islam termasuklah menghalang penggunaan kalimah Allah oleh mana-mana orang jika kalimah itu jelas menyalahi maksud Allah yang menjadi teras akidah dan kepercayaan orang Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Mais juga menegaskan bahawa mengikut seksyen 9 Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988), mana-mana orang bukan Islam yang menggunakan kalimah Allah untuk menyatakan idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara atau hal mengenai sesuatu agama bukan Islam di dalam Selangor adalah suatu kesalahan.

Katanya, fatwa yang diwartakan di Selangor pada 18 Februari 2010 juga memperuntukkan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama bukan Islam yang lain dan wajib bagi orang Islam untuk menyekat penggunaan kalimah Allah jika terdapat unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah Allah itu.

"Mais juga bimbang terhadap penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dalam penerbitan agama Kristian kerana ia boleh membuka ruang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan atau mengembangkan agama bukan Islam kepada orang Islam khususnya di negeri ini.

"Selain itu, Mais menyokong penuh tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak Kerajaan Malaysia untuk merayu keputusan berkenaan," katanya.

Selasa lalu, Sultan Selangor dalam titah baginda menegaskan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian di dalam apa-apa bentuk yang mengandungi kalimah Allah dilarang penggunaannya di Selangor.

Baginda mengulangi pendirian bahawa kalimah Allah ialah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat kesempurnaan.

Titah baginda, kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.

Bagaimanapun sekiranya perkataan 'Tuhan' digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan 'God', baginda tiada halangan atas penggunaan perkataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 12:15 PM