BERNAMA

Melaka: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menubuhkan pasukan khas bagi mencari jalan untuk menyuntik semula semangat anak-anak supaya kembali meminati matapelajaran berkaitan sains dan teknologi.

Beliau berkata, dunia kini menuju kepada teknologi hijau terutama dalam bidang automotif, bagaimanapun dalam laporan terakhir diterimanya memaklumkan, anak-anak kini kurang meminati matapelajaran berkenaan, terutama yang tinggal di kampung dan golongan miskin bandar.

"Saya sudah minta Menteri Pendidikan adakan pasukan khas untuk mencari jalan menyuntik semula semangat anak-anak supaya (bukan sahaja) dididik sebagai manusia tetapi juga diberikan bimbingan tentang cabaran dan disiplin baharu dalam bidang teknologi dan sains.

"… kerana dari kajian awal, minat anak-anak terutama di desa, pedalaman dan miskin bandar itu dalam bidang sains dan teknologi juga merosot...ini cabaran bagi kita dan negara yang menuju ke bidang teknologi hijau (serta) kereta elektrik.

"Cabaran iklim, digitalisasi tetapi tidak cukup anak-anak yang terlatih dalam bidang pengkhususan ini," kata beliau ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2023 bertemakan Guru Insani Pemangkin Generasi MADANI.

Majlis yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh hari ini, turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Timbalannya Lim Hui Ying dan ribuan guru dari seluruh negara.

ANWAR Ibrahim bersama perima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan. FOTO Eizairi Shamsudin
ANWAR Ibrahim bersama perima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan. FOTO Eizairi Shamsudin

Anwar turut meminta warga pendidik agar memberi kesempatan baharu kepada kepimpinan kerajaan serta melonjakkan semangat rakyat untuk kembali menjadi negara hebat di rantau ini.

"Kita angkat negara ini dengan kekuatan bahasanya, sasteranya, budayanya, nilai dan akhlaknya dan teknologinya, diangkat sebagai satu negara hebat di rantau kita.

"Dan saya yakin, Insya-Allah, kalau guru-guru ini komited sepertimana saudara lakukan, tingkatkan sedikit, saya percaya masa depan kita akan cerah. Kita ketinggalan lama dalam simpang-siur politik," kata beliau.

Pada majlis sambutan itu, Datuk Dr Nuinda Alias dinobatkan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2023 manakala Datuk Mazlan Mohamad sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 1:42 PM