Dr Zuraidah
Dr Zuraidah
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) perlu diberi pendedahan dan dipupuk dalam kalangan kanak-kanak seawal usia empat tahun.

Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya Prof Madya Dr Zuraidah Abdullah berkata, pendedahan mengenai bidang sains menggunakan bahasa mudah boleh menarik minat mereka di awal persekolahan.

"Tidak seperti sekarang, kanak-kanak mendengar perkataan Matematik, Sains, Biologi, Fizik membuatkan mereka sudah takut.

"Jadi kita perlu menjadikan bidang ini penuh mesra dengan menggunakan bahasa mudah supaya kanak-kanak ini melihat STEM ini menyeronokkan.

"Seawal usia empat tahun, anak perlu diberi pendedahan oleh ibu bapa dalam memastikan mereka berminat bidang STEM, sekarang ini semua pihak perlu memainkan peranan, bukan saja guru di sekolah tetapi ibu bapa juga memainkan peranan penting," katanya kepada Harian Metro.

Beliau diminta mengulas mengenai kebimbangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengakui minat pelajar di negara ini dalam bidang STEM semakin merosot.

Anwar ketika mendedahkan perkara itu dalam Dewan Rakyat berkata, disebabkan itu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil beberapa langkah termasuk dengan beberapa kumpulan pendidikan lain bagi menggesa ibu bapa memberikan tumpuan semula kepada Matematik dan Sains.

Menurutnya, Malaysia ketika ini kekurangan jurutera dan menganggap kekurangan itu perlu ditangani segera.

Zuraidah berkata, sudah tiba masanya ibu bapa menerapkan dalam fikiran anak-anak berhubung keperluan belajar STEM sebagai subjek utama dan melatih mereka berinovasi untuk mencabar akal fikiran dan kebijaksanaan.

"Kaedah pembelajaran perlu lebih bersistematik dan tidak hanya menghafal semata-mata untuk menduduki peperiksaan. Seterusnya, di peringkat universiti, kita perlu bangunkan saintis muda.

"Sudah tiba masanya pensyarah di institusi pengajian tinggi duduk bersama peringkat dasar penggubal kokurikulum KPM untuk mencari kesinambungan pembelajaran di sekolah menengah ke peringkat asasi.

"Kita perlu akui, beberapa subjek anak-anak belajar di sekolah menengah ketika ini tidak selari dengan keperluan di pengajian tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 12:51 PM